Skip to main
Logo Malaysiakini

PN perlu 20 peratus undi bukan Melayu untuk tawan S'gor, N Sembilan - Razali

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Perikatan Nasional (PN) perlu menawan lebih 20 peratus pengundi bukan Melayu untuk memenangi pilihan raya negeri (PRN) Selangor dan Negeri Sembilan akan datang.

Ini menurut Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris, yang menambah sekutu mereka, Gerakan sudah pun melaksanakan strategi untuk mencapai matlamat ini.

“Kita hanya memerlukan 20 peratus daripada jumlah populasi pengundi bukan Melayu untuk membentuk majoriti kukuh di kedua-dua Negeri Sembilan dan Selangor.

"Kita juga menjangkakan kita akan berjaya di Pulau Pinang," kata Razali kepada Malay Mail.

Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris

Razali menyifatkan pakatan DAP dan Umno memudaratkan sokongan Pakatan Harapan (PH) dan mengharapkan PN mendapat manfaat.

Semasa pilihan raya parlimen tahun lepas, PN membuat kejutan di Selangor dengan memenangi enam daripada 22 kerusi parlimen di negeri itu.

Bagaimanapun, PN tidak dapat memenangi satu pun kerusi di Negeri Sembilan, menduduki tempat ketiga dalam tujuh daripada lapan kerusi parlimen yang dipertandingkan.

Razali, yang berasal dari Terengganu tetapi tidak bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) tahun lepas, berkata PN akan memberi tumpuan kepada Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan kerana gabungan itu yakin dapat mengekalkan Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Dia berkata PN mengharapkan peratusan keluar mengundi minimum 70 peratus, yang didakwanya akan membantu PN menang.

"Oleh kerana kita dapat lihat pada PRN sebelum ini sebelum PRU, pengundi memilih sama ada PH atau BN memandangkan peratusan keluar mengundi adalah rendah," kata Razali.

Semakan Malaysiakini mendapati bilangan orang yang mengundi untuk PH di Johor meningkat sebanyak 100 peratus semasa PRU ke-15 pada November 2022, berbanding pilihan PRN Johor hanya lapan bulan sebelumnya.

Bagi PN, undinya meningkat sebanyak 50 peratus, manakala undi BN secara relatifnya tidak berubah.