Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Suka tambah cuti raya? Bukan PM tanggung kos

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

ULASAN | Kalau kita bersedih atau bergembira, kita perlu ada sebabnya. Kalau kita bersedih atau bergembira tanpa sebab, itu tanda kita mengalami masalah mental atau kita mabuk.

Apabila kita ada sebab untuk bersedih atau bergembira sekali pun, belum memadai.

Kita mesti faham sebab musabab yang membuatkan kita sedih atau gembira.

Contohnya, saya baca dalam media arus perdana dan sosial, banyak orang gembira dapat guna lebuh raya bertol percuma selama empat hari dan dapat cuti umum tambahan sehari.

Ada yang puji kerajaan dan kerajaan pula bagi gambaran seolah-olah telah membuat pengorbanan besar dengan menampung kos pengecualian tol sebanyak RM93 juta.

Realitinya, bukan kerajaan yang tanggung tetapi setiap orang yang membayar cukai. Tidak kiralah cukai apa.

Tetapi bukan semua 33.52 juta penduduk Malaysia guna lebuh raya dalam tempoh pengecualian itu.

Majikan rugi hasil tidak ada

Bagi yang guna lebuh raya, banyak mana pun penjimatan yang mereka dapat, tetap tak sama dengan cukai yang kita semua tanggung.

Contohnya, bagi tahun 2021, cukai langsung yang kerajaan pungut adalah RM135.44 bilion. Bahagi dengan 33.52 juta orang, setiap seorang bayar RM4,040.57.

Bagi kerajaan, ok lah isytihar cuti umum tambahan dengan harapan jadi popular.

Kos kehilangan produktiviti bukan perdana menteri atau kabinet yang tanggung. Sekali lagi yang tanggung adalah pembayar cukai. Yang dapat faedah orang berjawatan tetap. Tetapi bukan semua pembayar cukai berjawatan tetap.

Majikan tentu rugi. Gaji kena bayar tapi hasil tidak ada. Bagi yang tidak boleh tutup perniagaan, kena bayar gaji berganda. Lepas itu, untuk tampung produktiviti yang hilang kena kerja lebih masa.

Pekerja dapat "overtime" majikan tanggung kos tambahan. Hendak dapat balik pelaburan, naikkan harga barang. Inflasi naik semua orang susah.

Akibat memberi cuti umum sewenang-wenang inilah antara sebab produktiviti Malaysia semakin merosot dan dikalahkan oleh negara-negara yang bersaing dengan kita.

Menurut laporan World Population Review tahun ini, produktiviti Malaysia hanyalah AS$24.75 (kira-kira RM109.40) sejam berbanding Singapura AS$54.55 (RM241.10).

Dari lebih 180 negara dan wilayah di dunia, Malaysia menduduki tempat ke-57.

Cuba tengok kedudukan ekonomi negara-negara yang banyak cuti umum macam Myanmar (35 hari), Nepal (35), Iran (26), Sri Lanka (25), Bangladesh (22), Mesir (22), India (21) dan Cambodia (21). Adakah mereka maju?

Tanpa mana-mana perdana menteri yang kemaruk sanjungan mengisytiharkan cuti umum adhoc pun, bilangan cuti umum di Malaysia sudah hampir sama dengan negara-negara yang saya sebutkan di atas.

Cuti awam Malaysia (bergantung kepada negeri) adalah antara 18 dan 20 hari. Campur sehari cuti tambahan Raya Puasa ini, standard kita samalah dengan India dan Kampuchea. Di Singapura 11 hari saja.

Silap-silap cuti umum diisytiharkan oleh kerajaan Malaysia Madani di negeri-negeri Perikatan Nasional (PN) yang akan jadi tapak rumah terbuka Aidilfitri.

Maaf cakaplah kalau saya kata, apa guna slogan sedap-sedap dan canggih kalau mentaliti masih dalam kelas picisan; tidak ada beza daripada kerajaan lepas-lepas yang menggunakan duit pecah (spare change) untuk menggula-gulakan rakyat jelata. Wallahuaklam.


A KADIR JASIN ialah Tokoh Wartawan Negara (2011) dan bekas ketua pengarang kumpulan akhbar New Straits Times.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini. Kali pertama terbit di Facebook dengan judul Fahami Sebab Suka dan Duka.