Skip to main
Logo Malaysiakini

Tak patut kaunter jaminan tutup awal dari biasa – Hanipa

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Kaunter pendaftaran yang memproses jaminan tidak wajar ditutup lebih awal dari biasa, kata bekas timbalan menteri undang-undang Mohamed Hanipa Maidin.

Ini selepas enam rakyat Malaysia, yang menghadapi pertuduhan konspirasi jenayah dengan niat untuk menipu, dilaporkan terpaksa menghabiskan hujung minggu yang panjang dalam tahanan lokap selepas mereka tidak dapat membayar jaminan kerana penutupan awal kaunter jaminan.

Hanipa, berkata adalah menyalahi undang-undang untuk menafikan enam lelaki itu daripada membayar ikat jamin apabila mahkamah telah memberikan jaminan kepada mereka.

“Menolak orang tersebut daripada membayar ikat jamin yang diperlukan mungkin tidak mengikut perlembagaan kerana ia melanggar Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan yang dengan jelas melindungi hak kebebasan dan kehidupan seseorang,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Bekas ahli parlimen Sepang itu berpandangan bahawa pihak berkaitan, termasuk kerajaan, mungkin terdedah kepada saman sivil, termasuk tort salah guna jawatan awam.

Sebelum ini, FMT melaporkan enam individu iaitu Liew Zhen Ying, Koh Zheng Yan, Renee Low, Foo Wei Xuan, Liew Zhen Shen dan Wong Wai Hong akan menghabiskan empat hari berikutnya di penjara Sungai Buloh.

Sementara itu, empat orang lagi iaitu Law Si Kai, Tan Jia Jing, Ching Chung Haw dan Xu Shao Rong, yang didakwa bersama enam lelaki itu, berjaya membayar jaminan mereka tepat pada masanya.

Peguam Alvin Tan, yang mewakili lelaki itu, mendakwa pegawai mahkamah telah menutup kaunter pendaftaran pada 2.53 petang. Ini walaupun terdapat notis yang menyatakan bahawa waktu pejabat sehingga 4.30 petang.

Alvin memberitahu portal itu bahawa keluarga tertuduh telah merayu kepada kakitangan kaunter tetapi tidak berjaya.

"Kakitangan kaunter berkata bahawa ia ditutup mengikut arahan daripada pengurusan mahkamah Kuala Lumpur," katanya seperti dipetik FMT.

Tambahnya, dua daripada tertuduh, yang dinafikan diikat jamin, sakit.

10 lelaki itu mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu apabila mereka dihadapkan di hadapan majistret Wong Chai Sia petang semalam, yang membenarkan mereka diikat jamin RM4,000 setiap seorang.