PM: K'jaan tegas tebus semula maruah bangsa, tolak kebobrokan
Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap tegas dalam tata kelola untuk mengembalikan maruah serta integriti dengan menolak sebarang kebobrokan, rasuah dan penyelewengan di negara ini.
Dalam Perutusan Sempena Aidilfitri, Perdana Menteri berkata ia supaya nasib rakyat Malaysia akan terjamin dan maruah bangsa akan dapat ditebus semula.
“Mana-mana negara yang mahu meningkat maju harus berteraskan kepada keyakinan, harus berteraskan kepada nilai, harus berteraskan kepada ihsan dan rahmah.
“Ini yang dipupuk tetapi yang integral dalam semua ini yang menjadi paksi adalah keluhuran jiwa kita, keinginan membawa perubahan dengan menetapkan suatu prinsip disiplin dan rahmah yang kita lalui dalam latihan bulan Ramadan,” katanya.
Beliau turut mengajak rakyat Malaysia untuk memanfaatkan waktu sambutan Aidilfitri bagi menjalin silaturahim dan ukhwah persaudaraan, saling menziarahi dan menambah rasa ihsan serta rahmah dalam kalangan masyarakat.
“Kepada seluruh rakyat khususnya umat Islam, saya mengucapkan Selamat Aidilfitri Mubarak.
"Moga-moga penyempurnaan ibadah puasa kita dapat dicapai ke tahap ketakwaan, darjat takwa dan la’allakum tattaquun. Dengan ini kita dijamin kembali kepada keadaan yang bersih, fitrah insaniah,” katanya.
Pemimpin nombor satu negara itu meminta masyarakat agar menjadikan semangat pengorbanan, keikhlasan dan disiplin pada bulan Ramadan sebagai bekalan untuk menjamin kesejahteraan hidup diri, keluarga, masyarakat serta negara.
Perdana menteri turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua penjawat awam di dalam dan luar negara yang bertungkus-lumus berkhidmat termasuk pasukan pertahanan yang menjaga keselamatan serta mengangkat martabat negara.
Beliau berharap dengan usaha dan khidmat mereka di negara ini dan seluruh dunia akan terus memberi kekuatan baru kepada negara yang harus diangkat martabatnya.
“Bagi pihak saya, (isteri) (Datuk Seri Dr Wan) Azizah (Wan Ismail) dan keluarga, saya ucapkan Selamat Eid Mubarak kepada seluruh umat Islam dan rakyat Malaysia,” katanya.
Umat Islam di Malaysia akan menyambut Aidilfitri esok.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai