Skip to main
Logo Malaysiakini

Dr Ganja 'menanti' tali gantung buat kali ketujuh Syawal

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Detik kedatangan Syawal memang dinanti-nantikan umat Islam dan rakyat Malaysia menyambutnya dengan penuh kegembiraan.

Namun, buat ahli keluarga kepada banduan akhir dan mereka yang dijatuhi hukuman mati ketibaan Hari Raya Aidilfitri menandakan satu lagi tahun telah berlalu dalam 'penantian' ke tali gantung.

Siti, berusia 36 tahun, berkata tahun ini “Ramadan ketujuh” sejak bapanya Kapten (bersara) Amiruddin Abdullah yang dijuluki gelaran 'Doktor Ganja' dijatuhkan hukuman mati.

Sejak penahanan bapanya itu, dia telah berkahwin dan menimang cahaya mata. Dalam tempoh itulah juga dia berulang alik dari Negeri Sembilan ke penjara Sungai Buloh untuk melawat bapanya.

Amiruddin Abdullah menjadi subjek dokumentari Ayahku, Dr G.

"Kalau ikut bulan Islam, dah kali ketujuh Ramadan. Jadi memang susah, dia didakwa bawah 39(b) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan tidak boleh boleh dijamin.

"Tekanan kita adalah prosedur, ambil masa yang sangat lama. Kesihatan ayah pun tidak mengizinkan. Daripada segi wang, kita bergelut dan sekarang bantuan (guaman) yang pertama daripada YB (Timbalan Menteri Undang-undang) Ramkarpal (Singh).

"Tapi sekarang dia jadi menteri maka sekarang dia tak boleh nak practice," kata Siti kepada Malaysiakini.

Dia berkata menanti keputusan rayuan terhadap sabitan kes bapanya dijadualkan pada 26 Jun depan merupakan suatu perjuangan.

"Dari segi struggle tu memang struggle sebab menyebabkan duit, emosi dan banyaklah," katanya.

"Benda ni banyak tertangguh, lama, sangat lama. Struggle dari segi itulah," jelasnya lagi.

Amiruddin, 63, ditangkap menggunakan ganja perubatan untuk merawat kansernya dan didakwa mengikut Seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman mati mandatori.

Veteran tentera yang berkerusi roda itu dikenakan 16 pertuduhan, kerana didakwa mengedar 77.84 kilogram ganja.

Gambar fail, Amiruddin sebelum penahanan.

Amiruddin turut menghadapi 18 pertuduhan menanam ganja mengikut Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan sebatan.

Selain itu, warga emas berkenaan turut menghadapi empat pertuduhan memiliki ganja dan satu pertuduhan memasukkan ganja ke dalam badan.

Amiruddin didakwa mengikut Seksyen 6 dan Seksyen 15(1) masing-masing di bawah akta yang sama.

Amiruddin kini diwakili oleh adik Ramkarpal, Sangeet Kaur (gambar, bawah).

Baru-baru ini, negara bergerak ke arah membataskan hukuman mati selepas Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 baru-baru ini.

Rang undang-undang (RUU) itu secara berkesan menghapuskan peruntukan hukuman mati mandatori bagi 11 kesalahan, termasuk pengedaran dadah, pembunuhan, menderhaka dan keganasan.

Pada 11 April, Dewan Negara mengesahkan RUU ini dan dengan moratorium pelaksanaan hukuman mati sejak 2018, maka selama hampir enam tahun Malaysia belum lagi menghantar mana-mana banduan akhir ke tali gantung.

Bagaimanapun, undang-undang baru ini tidak menghapuskan hukuman mati sama sekali tetapi sebaliknya membenarkan hakim menggunakan budi bicara mereka dalam mengenakan hukuman yang berkadaran dengan jenayah yang dilakukan, termasuklah hukuman mati, jika perlu.

Bukan sokong kes dadah tapi…

Penyokong hukuman mati telah mengadakan kempen membantah pindaan sedemikian namun bagi individu seperti Siti, pindaan itu merupakan satu tindakan yang dialu-alukan, kerana hukuman mati adalah relevan dengan pertuduhan dalam kes bapanya.

Bagi Siti, dia percaya hukuman mati tidak sepatutnya dikenakan terhadap mereka yang mempunyai pertuduhan berkaitan dadah.

"Saya rasa gembira dengan pindaan ini sebab bagi saya tak relevan kes yang melibatkan dadah kena hukuman gantung.

"Bukan saya sokong kes dadah tapi macam kes ayah saya, sebenarnya dia melibatkan hem, tapi disebabkan hem ini berkait dengan keluarga kanabis jadi - macam ayah mengedar dadah yang besar lah.

"Tapi saya sokong hukuman mati ini diteruskan seperti kes bunuh, rogol," katanya lagi.

Siti berkata banyak negara yang telah memansuhkan hukuman mati mandatori - dengan Malaysia menjadi salah satu negara yang terbaharu mengikutinya.

"Bagi saya, perlu tengok kes. Contoh, melibatkan dadah dalam kuantiti yang sikit, tak relevan untuk hukum gantung. Sepatutnya bagi ruang dan peluang untuk berubah ke kalau mereka betul-betul buat.

"Tapi ada yang terkena orang yang tak bersalah, orang teraniaya, golongan yang susah. Tiada duit kos untuk dapatkan khidmat peguam, terpaksa mengaku bersalah .

"Benda macam ni, dalam pengalaman saya, terpaksa bergadai, berhutang keliling pinggang untuk uruskan ayah kita yang teraniayai sebab sebelum terkena kepada keluarga saya, kita fikir yang kena tahan ni betul-betul penjenayah semua jahat, tapi tak tentu lagi yang dia orang ni salah," kata Siti.

Lebih 1,300 orang yang menghadapi hukuman mati atau penjara seumur hidup di Malaysia - termasuk mereka yang telah menamatkan semua rayuan undang-undang kini boleh mendapatkan semakan hukuman di bawah akta yang diluluskan baru-baru ini.

Pindaan itu terpakai kepada 34 kesalahan yang kini boleh dihukum mati, termasuk pembunuhan dan pengedaran dadah. Sebelas daripada kesalahan berkenaan telah menetapkan hukuman mati sebagai hukuman mandatori.

Buat masa ini, hukuman penjara seumur hidup, yang ditakrifkan oleh undang-undang sebagai tempoh tetap selama 30 tahun, akan dikekalkan.

Keberkesanan hukum gantung

Hukuman mati telah menjadi sebahagian daripada sistem keadilan jenayah Malaysia sejak zaman penjajahan British.

Pada tahun 1957, selepas kemerdekaan Tanah Melayu, negara ini mewarisi sistem undang-undang Inggeris termasuk hukuman mati.

Pada mulanya, Akta Dadah Berbahaya telah dilaksanakan Inggeris pada tahun 1952 untuk memerangi ancaman penyalahgunaan bahan terlarang.

Bagaimanapun, pelaksanaan hukuman mati bagi pengedaran dadah - yang tertakluk di bawah Seksyen 39B - hanya dikuatkuasakan pada 1975, dengan ia kekal mengikut budi bicara untuk seksyen itu sehingga 1983 apabila ia menjadi wajib - mandatori.

Memandangkan empat puluh tahun ia menjadi hukuman mandatori, Siti turut menyoal keberkesanan undang-undang berkendaan dalam mencegah pengedaran dadah.

"Macam kes dadah, sudah empat dekad Malaysia laksanakan hukuman mandatori, ramai netizen yang cakap lagi ramai orang yang akan buat jenayah, kes jenayah akan meningkat, ramai akan jadi tokan dadah.

"(Sepanjang) empat dekad ni kes dadah masih meningkat. Orang masih buat jenayah, tetap orang mengedar dadah.

"Sebab apa? Sebab bila hukuman yang besar, benda itu akan jadi mahal jadi orang yang terdesak akan cuba menjual atau mengedar ke, sebab benda tu mahal.

"Lagi-lagi Malaysia, sekarang ekonomi tengah susah ni mungkin orang akan selangkah mengedar macam tu.

"Bagi saya (hukuman mati untuk kesalahan dadah) tak relevan, kalau revelan benda ni selepas empat dekad sepatutnya sudah tidak ada pengedaran dadah lagi. Itulah maksud saya," kata Siti.

[Baca berita asal]