ULASAN l Selamat Hari Raya Hadi, PAS…
ULASAN l Ketika menulis perutusan Hari Raya Aidilfitri kepada rakyat Malaysia, baik kepada yang beragama Islam mahupun bukan Islam, saya terbaca “serangan ganas” Presiden PAS, Hadi Awang terhadap DAP dan saya.
Saya tidak tahu kenapa Hadi memilih Hari Raya Adilfitri untuk melancarkan serangannya terhadap DAP dan saya.
Saya telah bersara daripada politik dengan melepaskan semua jawatan daripada barisan kepimpinan hadapan DAP selama lebih setahun dan saya tidak lagi boleh mewakili atau menjawab bagi pihak pimpinan DAP tetapi saya tidak boleh membiarkan serangan Hadi terhadap saya tanpa jawapan.
Hadi bukanlah seorang “profound fake” atau “penipu hebat” kerana dengan mudah saya mampu mendedahkan ketergantungannya kepada penipuan, fitnah dan berita palsu dalam hujahnya, seperti yang dibuktikan oleh empat kejadian berikut.
Mana buktinya?
Selepas Pilihan Raya Umum ke-15, dia menuduh DAP mempromosikan Islamophobia. Kini sudah lima bulan sejak dia membuat dakwaan yang tidak masuk akal itu, dan walaupun di sebalik cabaran saya, dia gagal memberikan sebarang bukti pun untuk mengesahkan dakwaan liarnya.
Dia adalah satu-satunya pemimpin politik di Malaysia yang membuat dakwaan tanpa bukti.
Siapa tolong PAS pada 1977
Semasa pilihan raya kecil Teluk Intan pada Mei 2014, Hadi mengingatkan ahli PAS bahawa DAP telah membantu PAS ketika gabungan Barisan Nasional (BN) cuba menggulingkan parti itu daripada kerajaan negeri Kelantan semasa Darurat 1977.
Katanya, walaupun ada banyak perbezaan ketara di antara DAP dan PAS, seperti mengenai apa yang halal dan haram, alkohol, khinzir, dan hudud, kedua-dua parti ini bersetuju di antara satu sama lain untuk menghapuskan kemiskinan, kezaliman, dan rasuah, dan juga perkara-perkara buruk yang lain.
Adakah DAP mempromosikan Islamofobia semasa membantu PAS pada 1977?
Katanya, walaupun terdapat begitu banyak perkara yang berbeza antara DAP dan PAS, seperti halal (perkara dibolehkan) dan haram, seperti arak, daging babi, dan isu hukum hudud, kedua-dua parti, antara lain, bersetuju sesama mereka dalam hal membasmi kemiskinan, kezaliman, dan rasuah.
Siapa sebenarnya dalang Icerd
Hadi sepatutnya sedar sekarang bahawa DAP bukanlah dalang atau pihak di sebalik kejadian pada 2018 apabila kerajaan Pakatan Harapan di bawah Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad cuba meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Diskriminasi Kaum (Icerd).
Adakah Hadi akan memohon maaf atas serangan “membabi butanya” terhadap dakwaan DAP sebagai "dalang" dalam percubaan meratifikasi perjanjian itu?
Sejak tahun 2018, Hadi gagal untuk menunjukkan satu pun contoh bagi membuktikan martabat Islam direndahkan dalam 55 dari 57 negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang telah meratifikasi Icerd atau kejadian yang menyaksikan sistem monarki terkesan di 36 negara dengan sistem beraja yang telah meratifikasi Icerd.
Selepas empat kesilapan besar itu, apakah kredibiliti yang ditinggalkan Hadi untuk bercakap benar dan jujur, berdasarkan fakta dan kebenaran dan bukan berdasarkan penipuan, fitnah dan berita palsu?
Hadi terus mengulangi dakwaan bahawa saya seorang komunis, tanpa mampu mengemukakan sebarang bukti.
Jika saya seorang komunis, mengapa KDN tidak menangkap saya semasa Perikatan Nasional berkuasa semasa pimpinan dua Perdana Menteri "pintu belakang" selama 32 bulan bermula dari 2020 hingga 2022?
Saya tidak pernah menjadi seorang komunis, tetapi Hadi berkeras bahawa saya seorang komunis. Bilakah dia menyedari perkara ini?
Tetapi, seorang komunis bukanlah jelmaan syaitan, seperti yang Hadi patut sedar bahawa perjanjian keamanan di antara Arab Saudi dan Iran dibentuk oleh seorang komunis – Xi Jinping, presiden China yang komunis.
Saya sentiasa percaya yang Malaysia boleh memainkan peranan global dan salah satu peranan ini adalah untuk menjadi contoh persefahaman, toleransi, dan keharmonian antara etnik, agama, budaya, dan peradaban atau tamadun kepada dunia.
Adakah Hadi setuju?
Hadi tidak mempunyai bantahan sekiranya Malaysia akhirnya menjadi negara yang berpecah, gagal dan kleptokrat.
Namun, tidak bagi saya. Saya melihat Malaysia mampu dan berpotensi untuk menjadi salah satu negara terbaik dan contoh kepada dunia.
Sempena hari mulia buat salah satu agama terpenting di dunia, di sebalik semua tanggapan yang khilaf dan palsu terhadap saya dan DAP, saya tidak ada sebarang kata-kata keras untuk Hadi dan saya ucapkan kepada Hadi dan PAS, “selamat hari raya Aidilfitri. Maaf zahir dan batin!”
Marilah kita semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, atau kawasan, bersama-sama meraikan Hari Raya Aidilfitri dan menunjukkan yang kita boleh menjadi contoh persefahaman, toleransi, dan keharmonian antara kaum, agama, budaya, dan tamadun kepada seluruh dunia.
Contoh yang ditunjukkan Hadi tidak patut diikuti sekiranya kita mahu memainkan peranan ini kepada dunia.
LIM KIT SIANG ialah seorang veteran DAP.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai