Skip to main
Logo Malaysiakini

Azalina arah siasat dakwaan kaunter jaminan ditutup awal

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Kementerian Undang-undang dan Reformasi Institusi mengarahkan siasatan terhadap dakwaan penutupan awal kaunter jaminan di sebuah mahkamah di Kuala Lumpur.

Ini susulan enam rakyat Malaysia, yang menghadapi pertuduhan konspirasi jenayah dengan niat untuk menipu, dilaporkan terpaksa menghabiskan hujung minggu yang panjang dalam tahanan lokap selepas mereka tidak dapat membayar jaminan kerana penutupan awal kaunter jaminan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata bahagian hal ehwal undang-undang kementeriannya telah diarahkan untuk menyiasat perkara itu.

Katanya, jika dakwaan itu terbukti benar, maka sudah tentu perlu dikaji dan diperbetulkan bagi memastikan kesilapan pentadbiran seperti kes tersebut tidak berulang.

Termasuk isu pentadbiran

"Hak untuk mendapatkan jaminan adalah hak asasi manusia yang asas dan berperlembagaan yang kerajaan hormati tanpa persoalan.

"Sebarang tindakan, termasuk isu pentadbiran, yang mengganggu hak ini dilihat sebagai melanggar prinsip kardinal ini," katanya seperti dipetik FMT.

Sebelum ini, FMT melaporkan enam individu iaitu Liew Zhen Ying, Koh Zheng Yan, Renee Low, Foo Wei Xuan, Liew Zhen Shen dan Wong Wai Hong akan menghabiskan empat hari berikutnya di penjara Sungai Buloh.

Sementara itu, empat orang lagi iaitu Law Si Kai, Tan Jia Jing, Ching Chung Haw dan Xu Shao Rong, yang didakwa bersama enam lelaki itu, berjaya membayar jaminan mereka tepat pada masanya.

Arahan pengurusan

Peguam Alvin Tan, yang mewakili lelaki itu, mendakwa pegawai mahkamah telah menutup kaunter pendaftaran pada 2.53 petang. Ini walaupun terdapat notis yang menyatakan bahawa waktu pejabat sehingga 4.30 petang.

Alvin memberitahu portal itu bahawa keluarga tertuduh telah merayu kepada kakitangan kaunter tetapi tidak berjaya.

"Kakitangan kaunter berkata bahawa ia ditutup mengikut arahan daripada pengurusan mahkamah Kuala Lumpur," katanya seperti dipetik FMT.

Menurutnya, dua daripada tertuduh yang dinafikan diikat jamin itu sedang sakit.

Sepuluh lelaki itu mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu apabila mereka dihadapkan di hadapan majistret Wong Chai Sia petang semalam, yang membenarkan mereka diikat jamin RM4,000 setiap seorang.

Semalam, bekas timbalan menteri undang-undang Mohamed Hanipa Maidin berkata bahawa kaunter pendaftaran yang memproses jaminan tidak wajar ditutup lebih awal dari biasa.

Bekas ahli parlimen Sepang itu berpandangan bahawa pihak berkaitan, termasuk kerajaan, mungkin terdedah kepada saman sivil, termasuk tort salah guna jawatan awam.