Skip to main
Logo Malaysiakini

Tiga beradik mati lemas ketika mandi di Port Dickson

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Kegembiraan empat beradik berkelah bersama saudara mereka sempena cuti Aidilfitri bertukar tragedi apabila tiga beradik wanita lemas ketika mandi manda di Pantai Cahaya, Port Dickson, dekat Seremban, petang semalam.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Kemang, Penolong Penguasa Bomba, Azizee Alias, berkata ketiga-tiga mangsa bersama adik lelakinya dari Banting, Selangor dan seorang saudara lelakinya dari Perak datang berkelah ke pantai tersebut.

Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.57 petang sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson dan Teluk Kemang dikejarkan ke lokasi berkenaan.

Menurutnya, mangsa wanita dikenali sebagai R Kalavani, 30, Dawige, 29 dan Sathiyadevi, 19, manakala adik lelaki mangsa, Veeran, 26, dan saudara lelakinya, J Sathiswaran, 29, diselamatkan oleh orang awam dan dihantar ke Hospital Port Dickson untuk rawatan.

“Mayat ketiga-tiga mereka itu ditemukan kira-kira 50 meter dari pantai. Ketika kejadian, air tengah pasang dan agak bergelora.

"Saya juga dimaklumkan kawasan berkenaan adalah kawasan larangan mandi," katanya ketika dihubungi Bernama, semalam.

Beliau berkata mayat ketiga-tiga mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

- Bernama