Skip to main
Logo Malaysiakini

Tak perlu pertikai siapa cetus konsep Rahmah - Salahuddin

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Isu siapa yang mencetuskan konsep Rahmah tidak perlu dipertikai mana-mana pihak selagi ia dapat memanfaatkan rakyat, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Beliau berkata ini kerana inisiatif Rahmah yang diperkenalkan Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah untuk memberikan faedah kepada rakyat terutama dalam mendepani isu kos sara hidup.

“Saya tidak ada masalah sekiranya mereka (ada parti politik) hendak tuntut tentang inisiatif Rahmah, yang penting bagi saya rakyat yang mendapat faedah.

“Seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, di era beliau sudah ada ‘baby’ iaitu Wawasan 2020, jadi saya rasa itu tidak menjadi pertikaian.

"Jadi bagi saya, biarlah era Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan konsep Madani dan memperkenal inisiatif Rahmah yang dapat menyantuni serta mendasari setiap keperluan rakyat,” katanya kepada pemberita di Majlis Rumah Terbuka di kediamannya di Tanjung Piai, di Pontian hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Timbalan Ketua Penerangan Gerakan Tanah Air (GTA) Mahdzir Ibrahim bahawa konsep Rahmah merupakan hasil cetusan Dr Mahathir.

Terdahulu, Mahdzir dalam satu kenyataan dipetik sebagai berkata konsep 'Rahmah' yang diperkenalkan Kerajaan Perpaduan didakwa bukan daripada idea ahli parlimen Tambun itu sebaliknya merupakan gagasan Dr Mahathir semasa beliau menjadi perdana menteri ketujuh.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai dakwaan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bahawa Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani bersama perdana menteri di enam negeri sebagai kempen Pilihan Raya Negeri (PRN), beliau berkata perkara itu tidak seharusnya dipolitikkan.

Salahuddin yang juga ahli parlimen Pulai dan timbalan presiden Parti Amanah Negara berkata perdana menteri mempunyai cara yang tersendiri dalam menyantuni rakyat dengan mengadakan Majlis Rumah Terbuka itu di negeri-negeri.

“Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mengadakan Majlis Rumah Terbuka di kediaman rasmi yang biasanya setiap perdana menteri buat pada pagi raya.

“Jadi kali ini, beliau putuskan untuk buat di luar Kuala Lumpur, jadi itu cara masing-masing apabila seorang perdana menteri itu diberikan amanah, jadi yang lain tidak perlu cemburu, kalau mereka berpeluang (mentadbir) buat dengan cara mereka, jadi jangan ia dipolitikkan,” katanya.

Rumah Terbuka Malaysia Madani bersama Perdana Menteri akan dimulakan di Kedah pada 29 April ini diikuti Pulau Pinang (6 Mei), Negeri Sembilan (7 Mei), Kelantan (12 Mei), Terengganu (13 Mei) dan kemuncak sambutan rumah terbuka itu akan berlangsung di Selangor pada 14 Mei.

- Bernama