Skip to main
Logo Malaysiakini

S'wak pertimbang wajibkan panel solar di kawasan kediaman baru

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Kerajaan Sarawak sedang meneliti kemungkinan mewajibkan pemasangan panel solar di kawasan kediaman yang baru, menurut Menteri Muda Kemudahan Awam (Elektrik dan Komunikasi) Abdul Rahman Junaidi.

Menurut Borneo Post, Abdul Rahman berkata kerajaan sedang membincangkan perkara itu dengan Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (Sheda).

"Cadangan ini diutarakan oleh Premier Abang Johari Openg ketika dia menjadi menteri pembangunan bandar (Sarawak). Saya bersamanya kira-kira tujuh atau lapan tahun lalu untuk membentangkan cadangan ini di peringkat awal.

"Baru-baru ini, Sarawak Energy ambil bahagian dalam program Feed-In Tariff (FIT) seperti yang dilaksanakan di Putrajaya dan Lembah Klang. Ini boleh dilaksanakan secara sistematik. Ia memerlukan penglibatan Sarawak Energy bersama-sama pemaju hartanah dan pihak lain yang terlibat.

"Mungkin di masa depan, selepas perbincangan dengan pelbagai pihak, kita boleh pinda undang-undang perumahan (sedia ada) untuk memastikan semua rumah baru dilengkapi panel solar," katanya seperti dipetik.

Pada Disember lalu, ibu kota Jepun, Tokyo mewajibkan pemasangan panel solar untuk semua rumah yang dibina selepas 1 April 2025.

Kesatuan Eropah (EU) juga menimbang untuk merangka undang-undang serupa dengan matlamat menjadikan tenaga solar sebagai sumber tenaga terbesar menjelang 2030 dan mengurangkan kebergantungan kepada sumber tenaga fosil Rusia.

Abdul Rahman berkata pengumpulan tenaga solar di Sarawak masih terhad dan boleh dikembangkan dengan mengmbil kira kedudukan negeri itu sebagai lokasi pengeluar panel solar.

"Ini bagi memastikan pengguna dapat menjimatkan penggunaan tenaga dan pada masa sama menjamin perkembangan industri mesra alam sekitar ini.

"Mungkin di masa akan datang, (panel solar) boleh digunakan di negeri kita dan menjadi sebahagian daripada sistem untuk kawasan perumahan, terutama di kawasan bandar," katanya lagi.