Pesakit kanser berdepan isu kerakyatan meninggal dunia
Pesakit kanser yang MyKadnya dirampas secara salah ekoran pertikaian mengenai status kerakyatannya sebelum ini, Lina Samuel meninggal dunia pada pukul tujuh pagi tadi.
Agnes Padan dari Parti Bangsa Malaysia (PBM) mengesahkan Lina meninggal dunia selepas dimasukkan di Hospital Lawas, Sarawak malam tadi ekoran kesukaran bernafas.
"Dia bergelut dengan kanser usus tahap empat. Dia berada dalam keadaan kritikal malam tadi, jadi dia dimasukkan ke hospital kira-kira jam 10 malam,” katanya kepada Malaysiakini.
Lina, 65, mempunyai dua anak perempuan dan dua anak lelaki yang juga tidak memiliki status warganegara.
“Keluarganya telah membawa pulang jenazahnya ke kampungnya di Long Sebangang di Lawas.
"Tetapi saya tidak pasti sama ada pengebumian akan diadakan hari ini atau tidak kerana mereka sedang menunggu anak lelakinya pulang dari Baram," kata Agnes.
Terdahulu, Lina mendakwa kad pengenalannya dirampas oleh seorang pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pada November tahun lalu, semasa dia ke pejabat JPN untuk menukar alamat untuk mengundi pada PRU15.
Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution berkata MyKad milik Lina ditarik balik oleh JPN Sarawak setelah dia didapati bukan warga Malaysia.
Ini kerana dokumen sijil kelahiran anak-anaknya menunjukkan dia seorang warga Indonesia.
Setelah satu pertemuan dengan JPN Kuching, Lina diberikan dokumen pengenalan sementara yang membolehkannya melakukan perjalanan melalui udara atau darat dari Lawas ke Miri untuk mendapat rawatan bagi kanser yang dihidapinya.
Bagaimanapun, Agnes hari ini memaklumkan Lina enggan mendapatkan rawatan sejak beberapa hari lalu dengan berkata keadaaan dirinya terlalu lemah.
Melibatkan tiga generasi
Tidak pasti sama ada status kewarganegaraan mendiang telah diselesaikan atau tidak.
"Sehingga hari dia meninggal dunia, dia tidak dapat semula MyKad.
"Kami berharap menteri dalam negeri akan melihat isu kewarganegaraan Lina kerana ia membabitkan tiga generasi.
"Lina telah menderita. Empat anaknya tiada status warganegara walaupun mereka dilahirkan di Lawas dan anak mereka juga tidak bernegara. Ini masalah besar di Lawas," katanya.
Isu kewarganegaraan Lina membangkitkan masalah serupa yang dihadapi ramai lagi yang lahir dan hidup di negara ini tetapi tidak mempunyai dokumen pengenalan rasmi kewarganegaraan.
Masalah ini terutamanya melibatkan masyarakat yang tinggal di kawasan pedalaman.
Masalah tanpa kerakyatan di Malaysia dirumitkan lagi dengan hakikat bahawa sejumlah masyarakat Orang Asal memiliki peraturan dan adat tersendiri yang tidak selari dengan undang-undang negara.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai