Skip to main
Logo Malaysiakini

Tribunal Australia lulus dedah laporan kemalangan ‘Double Six’

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Tribunal Rayuan Pentadbiran Australia di Sydney telah membenarkan pendedahan semua laporan negara itu mengenai nahas pesawat 1976 yang mengorbankan 11 orang.

Peguam bekas ketua menteri Sabah Harris Mohd Salleh (gambar, bawah) mengesahkan perkara itu kepada Malay Mail.

Alex Decena dan Jordan Kong berkata kerajaan Australia akan menyerahkan laporan itu kepada firma mereka, Tetuan Jayasuriya Kah & Co, yang kemudiannya akan mendedahkan dokumen itu kepada umum.

Namun, mereka tidak dapat mengesahkan bila tarikh laporan itu akan diberikan kepada mereka.

Malay Mail memetik dokumen yang menyatakan bahawa tribunal Australia membuat keputusan untuk mengeluarkan laporan negara itu mengikut Seksyen 40 Akta Arkib Australia 1983.

Seksyen 40 akta itu membenarkan permohonan dibuat untuk mengakses arkib negara.

Harris memfailkan permohonan pada 12 Mei tahun lalu kepada Arkib Negara Australia untuk mendedahkan laporan tersebut.

Laporan Australia yang akan dikeluarkan itu termasuk laporan Pasukan Penyiasatan GAF setebal 50 halaman, juga dikenali sebagai "Rekod B5535".

Laporan dua bahagian pelengkap yang dikenali sebagai "Rekod B638" juga akan dikeluarkan.

Tiada sabotaj, mungkin kecuaian

Malaysia juga telah menukar status dokumen laporan siasatan persekutuannya mengenai tragedi itu awal bulan ini selepas Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mengeluarkan perintah mandamus mengarahkan kerajaan untuk memulakan langkah yang diperlukan untuk membuat laporan itu kepada umum.

Antara mereka yang terkorban dalam nahas pesawat 6 Jun 1976, juga dikenali sebagai “Tragedi Double Six”, ialah ketua menteri Sabah ketika itu Fuad Stephens, selain menteri negeri ketika itu Salleh Sulong, Peter Mojuntin, dan Chong Thien Vun.

Turut terbunuh pembantu menteri negeri Darius Binion, setiausaha tetap Kementerian Kewangan Sabah Wahid Peter Andau, Isak Atan (setiausaha peribadi kepada menteri kewangan ketika itu Tengku Razaleigh Hamzah), Said Mohammad (pengawal peribadi Fuad), juruterbang Gandhi Nathan, dan anak sulung Fuad Johari Stephens .

Laporan penyiasatan persekutuan yang didedahkan menyebut tiada unsur sabotaj ditemui, menyimpulkan bahawa kemalangan itu paling berkemungkinan berpunca akibat pusat graviti pesawat tidak seimbang.

Laporan itu juga menuding jari kepada juruterbang penerbangan Gandhi Nathan - yang digambarkan sebagai mempunyai rekod prestasi yang tidak bagus.

Anak lelaki Gandhi, Nizam pula mendakwa terdapat banyak percanggahan dan kelemahan dalam laporan siasatan persekutuan Malaysia.

Nizam berkata hampir mustahil untuk mengesahkan ketepatan kaedah penyiasatan yang digunakan dan integriti pasukan penyiasat kerana laporan itu hanya dikeluarkan hampir lima dekad selepas kejadian itu.

Bagaimanapun, dia berkata bahawa laporan Australia mengenai nahas tersebut juga tidak mungkin memberikan banyak jawapan dari segi jawapan kerana ia dilakukan oleh kerajaan negara itu.