Skip to main
Logo Malaysiakini

Pelajar mungkin perlu pakai semula pelitup muka di sekolah

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Pelajar mungkin diwajibkan memakai pelitup muka semula sebaik mereka kembali ke sekolah pada 2 Mei ini, di tengah kebimbangan penularan varian baru Covid-19, XBB.1.16 atau Arcturus, yang sangat mudah berjangkit.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata dia akan bertemu dengan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek untuk membincangkan perkara itu bagi menghalang penularan Covid-19 di sekolah.

"Saya akan bertemu Fadhlina minggu ini juga untuk membincangkan garis panduan mengapa kita perlu mengawal penularan Covid-19 di sekolah, terutama selepas adanya varian baru Arcturus.

"SOP berhubung kawalan Covid-19 itu akan dikeluarkan sebelum pelajar kembali ke sekolah pada 2 Mei ini sebagai langkah berjaga-jaga.

"Ini penting kerana kita bimbang jika ada murid terkena jangkitan selepas bergerak ke sana sini sepanjang cuti raya yang mungkin menyebabkan Covid-19 kembali menular di sekolah," katanya seperti dipetik Berita Harian.

Zaliha berkata Kementerian Pendidikan akan membuat keputusan muktamad berhubung SOP berdasarkan syor kementeriannya.

Pada masa sama dia menggesa ibu bapa agar tidak panik dengan varian baru.

"Jika mengalami gejala jangkitan, mereka bukan sahaja perlu memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan, tetapi perlu melakukan pemeriksaan kesihatan dengan doktor," katanya lagi.

Pada Isnin lalu, Zaliha mendedahkan sebanyak 12 kes varian Arcturus telah dilaporkan di Malaysia, dengan kesemua pesakit mengalami gejala ringan dan dalam keadaan stabil.

Enam kes dikesan di Sarawak, empat di Selangor dan dua lagi di Kuala Lumpur.