Skip to main
Logo Malaysiakini

Penduduk kampung rayu MB S'gor bantu tangguh pengusiran

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Sekumpulan penduduk kampung di Koskan Tambahan, Serendah di Selangor yang telah menetap di situ lebih empat dekad merayu supaya Menteri Besar Amirudin Shari campur tangan bagi menangguhkan pelaksanaan notis pengosongan di kawasan terbabit.

Menurut setiausaha badan bertindak kampung tersebut Maszahar Hashim, mereka yang terdiri daripada 12 keluarga di situ diarah untuk mengosongkan kawasan tersebut pada 2 Mei ini.

Penduduk kampung menerima notis pengosongan dari mahkamah pada 18 April.

“Tujuan kami datang hari ini adalah untuk merayu kepada menteri besar agar campur tangan dalam menangguhkan pengusiran paksa kami dari Kampung Koskan Tambahan sehingga satu penyelesaian dapat dicapai antara pihak kami dan pemaju.

“Jangalah usir kami, penduduk yang telah menetap di Kampung Koskan Tambahan lebih 40 tahun lamanya,” katanya ketika berkumpul bersama penduduk kampung yang hadir di hadapan bangunan SUK di Shah Alam, Selangor untuk menyerahkan memorandum tersebut.

Antara tuntutan oleh 12 keluarga berkenaan dalam memorandum tersebut ialah agar menghentikan pengusiran penduduk kampung Koskan Tambahan sehingga terdapat perundingan antara pihak penduduk dan pemaju serta mencapai penyelesaian yang dipersetujui kedua-dua pihak.

Perkara yang mereka inginkan penjelasan termasuklah isu pemberian tanah kampung kepada pemaju, walaupun penduduk kampung telah memohon terlebih dahulu dan ditolak.

Mereka juga meminta menghentikan sebarang “pencerobohan” dalam kawasan tanah kampung itu dan mempercepatkan proses pemberimilikan tanah bagi penduduk kampung itu.

Penyerahan memorandum penangguhan pelaksanaan pengosongan kawasan itu diserahkan kepada penolong setiausaha bahagian korporat SUK Norbaini Zainuddin.

Kecewa dengan notis pengusiran tersebut, Baharuddin Nood, salah seorang penduduk yang telah menetap selama 43 tahun di situ berkata kerajaan negeri sewajarnya memberikan mereka tempat perlindungan sementara.

“Dia tak beri sebarang tempat… 2 hari bulan ni (2 Mei) akan diusir.

“Kami harap kerajaan negeri ni masuk campur sebab kami dah lama duduk sana hampir 50,” katanya apabila ditanya ke mana arah tuju mereka sekiranya diusir.

“Nak usir? Kami nak ke mana? Kalau tak keluar, dia (pihak berkuasa) kata akan keluarkan (kami semua),” katanya.

Timbalan Pengerusi PSM S Arutchelvan yang turut hadir bersama di situ berkata bahawa penduduk kampung itu kini tiada hala tuju dan ingin berbincang dengan menteri besar seta pihak pemaju untuk mendapat satu penyelesaian yang dapat dipersetujui semua pihak yang terlibat.

“Isu ini memerlukan penyelesaian politik memandangkan kerajaan negeri Selangor sejak Pakatan Rakyat memerintah, mempunyai polisi tidak akn membuat pengusiran paksa sebelum menyelesaikan isu perumahan penduduk,” katanya.

Untuk rekod, pada 17 Februari, Mahkamah Tinggi Shah Alam mengeluarkan perintah bahawasanya pihak pemaju perlu mendapat balik pemilikan bagi tapak tanah kampung dan penduduk-penduduk kampung perlu menyerahkan semula hak milikan kosong tanah tersebut kepada pemaju.

Satu writ pemilikan bagi pihak pemaju pula dikeluarkan pada 30 Mac.

Mengikut peguam penduduk kampung tersebut, rayuan telah dibuat di Mahkamah Rayuan dan juga rayuan untuk menangguhkan pelaksanaan perintah pengosongan itu tetapi masih belum mendapat tarikh mahkmah untuk mendengar kes itu.