'Donald Trump rogol saya,' kata penulis pada perbicaraan sivil
GLOBAL l Seorang penulis menjelaskan secara terperinci semalam bagaimana Donald Trump didakwa merogolnya hampir 30 tahun lalu, pada perbicaraan sivil untuk menentukan jika betul bekas presiden AS itu menyerang dan kemudian berbohong mengenainya.
"Saya di sini kerana Donald Trump merogol saya, dan apabila saya menulis mengenainya, dia berbohong dan berkata ia tidak berlaku," kata E Jean Carroll kepada juri di mahkamah persekutuan di Manhattan.
"Dia berbohong dan merosakkan reputasi saya, dan saya di sini untuk mencuba dan mendapatkan kembali kehidupan saya."
Carroll, 79, bekas kolumnis ruangan nasihat majalah Elle, menuntut ganti rugi yang tidak dinyatakan daripada Trump, 76, yang mengetuai Republikan dalam kempen presiden 2024.
Samannya itu adalah berhubung pertemuan mereka di bilik persalinan gedung Bergdorf Goodman pada akhir 1995 atau awal 1996, yang katanya, Trump merogolnya sebelum dia sempat melarikan diri.
Carroll berkata Trump kemudian memfitnahnya dengan mendakwa dia berbohong di media sosialnya dengan berkata bahawa wanita itu bukan "jenis"nya dan membuat dakwaan berkenaan semata-mata untuk menjual memoirnya.
Samannya juga difailkan mengikut Adult Survivors Act atau Akta Penyelamat Dewasa New York, yang membenarkan mereka menyaman pendera yang didakwa lama selepas statut pengehadan berakhir.
Trump tidak menghadiri dan tidak perlu menghadiri perbicaraan itu, yang bermula pada Selasa. Dia mempunyai acara kempen di New Hampshire yang dijadualkan hari ini, dan kedua-dua pihak telah menyatakan bahawa besar kemungkinan Trump akan memberi keterangan.
Trump tetap mengekalkan cemuhannya terhadap kes Carroll di Truth Social semalam, menggelar peguamnya sebagai "operatif politik" dan dakwaan rogol itu sebagai “scam” dan “penipuan”, sambil menambah: "ini adalah cerita palsu!"
Hakim daerah AS Lewis Kaplan memberi amaran bahawa Trump boleh menghadapi lebih banyak masalah undang-undang jika dia terus membincangkan kes itu.
'Saya masih dapat merasakannya'
Carroll memberi keterangan bahawa dia bertemu Trump bertahun-tahun sebelum dakwaan rogol itu, dan mendapati dia mempunyai "peribadi yang baik".
Di Bergdorf, Carroll menceritakan bahawa ketika mahu meninggalkan gedung itu dia terjumpa Trump dan mengenalinya. Dia berhenti.
"Dia berkata, 'Hei, kamu adalah penulis ruangan nasihat itu,'" kata Carroll. "Saya kata, 'Hei, kamu adalah hartawan hartanah itu.'"
Carroll berkata Trump dalam nada "berseloroh" ketika dia membeli pakaian dalam untuk wanita lain.
Dia berkata Trump memintanya mencuba sehelai pakaian dalam, dan dia menjawab bahawa Trump yang seharus mencubanya.
Carroll berkata Trump kemudian memujuknya ke dalam sebuah bilik persalinan, dan menutup pintu, sambil menolaknya ke dinding, dan menarik seluar ketatnya. Dia tersedak dan cuba menahan air mata ketika menggambarkan bagaimana dia ditolak.
Jari-jari Trump kemudian "masuk ke dalam kemaluan saya, ia sangat menyakitkan” dan dia juga "memasukkan zakarnya", katanya.
"Semasa saya di sini hari ini, saya masih dapat merasakannya," katanya. "Ini menyebabkan saya tidak dapat menjalani kehidupan romantis lagi."
Ditanya oleh peguamnya jika dia ada memberitahu”tidak” kepada Trump, Carroll berkata "Saya mungkin ada mengatakannya" tetapi tidak tahu.
Dia juga berkata dia mempersalahkan dirinya sendiri, dan takut akan dipecat serta Trump akan bertindak balas jika dia melaporkannya.
Mendapat ilham daripada pergerakan #MeToo, Carroll tampil pada tahun 2019, dan menafikan cadangan berulang Trump bahawa dia tidak menyukai politiknya.
"Saya bukan mahu menyelesaikan skor politik sama sekali," kata Carroll. "Saya mahu menyelesaikan markah peribadi kerana dia memanggil saya penipu berulang kali, dan ini benar-benar telah menjatuhkan reputasi saya."
Dia berkata dusulan serangan Trump itu menyaksikan Elle memecatnya, menyebabkan lapan juta pembacanya, dan orang ramai percaya bahawa dia adalah pembohong.
Carroll menanggis teresak-esak apabila ditanya jika dia menyesal kerana memilih untuk bersuara.
"Saya telah menyesali perkara ini kira-kira 100 kali," katanya, "tetapi akhirnya hari ini saya dapat hadir di mahkamah adalah segala-galanya bagi saya."
Peguam Trump dijangka menyoal Carroll hari ini, termasuk mengenai ketidakupayaannya untuk mengingati bila dakwaan rogol itu berlaku.
Gangguan luar
Trump menyiarkan komen terbarunya di Truth Social kira-kira sejam sebelum perbicaraan semalam bermula.
Dia mempersoalkan bagaimana sesiapa boleh mempercayai dakwaan bahawa dia “begitu terkenal” sanggup dan tergamak merogol Carroll.
"Dia tak menjerit ke?" tulis Trumps. "Tiada saksi? Tiada siapa yang nampak ke?"
- Reuters
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai