Skip to main
Logo Malaysiakini

‘PN sengaja jadikan sambutan Aidilfitri modal permusuhan politik’

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim menempelak Perikatan Nasional (PN) yang didakwa sengaja menjadikan Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Persekutuan sebagai modal untuk  mencetuskan permusuhan.

"Sambutan Aidilfitri pada peringkat negeri oleh Kerajaan Persekutuan bukanlah sesuatu yang wajar dilabelkan sebagai tindakan melangkaui sempadan hormat dan adab, apatah lagi ketiga-tiga Menteri Besar Kerajaan Negeri PN termasuk Kedah bersetuju dan menyambut mesra penganjuran majlis yang akan dihadiri Perdana Menteri Anwar Ibrahim di negeri masing-masing.

"Usaha mendekati rakyat tanpa mengira sempadan negeri kerajaan dan pembangkang adalah tanggungjawab bersama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. 

"Dakwaan motif politik dan tuduhan menggunakan jentera parti untuk persaingan pengaruh yang tidak dibuktikan adalah kenyataan berniat jahat untuk menimbulkan kebencian rakyat kepada pimpinan PM," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dia berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Setiausaha Agung PN Takiyuddin Hassan berkata langkah Putrajaya mengadakan siri sambutan rumah terbuka di enam negeri tidak lama lagi sebagai sesuatu yang 'melampau' serta mencabar maruah kerajaan terbabit.

Kamil juga menolak kenyataan PN yang membangkitkan perihal hutang negara dan kos penganjuran rumah terbuka sebagai tidak munasabah. 

"PN memberi hukuman bahawa pimpinan Kerajaan Malaysia Madani tidak berhak untuk menganjurkan apa-apa program untuk rakyat hanya kerana prinsip penjimatan yang diperkenal PM. 

"Setakat ini, tidak ada lagi pembuktian dari PN bahawa penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri ini adalah pembaziran melainkan persepsi semata-mata," katanya.

Sebelum ini, Takiyuddin berkata sambutan rumah terbuka di negeri-negeri pembangkang tidak menyumbang kepada pembinaan hubungan yang baik di antara kerajaan pusat dan negeri selain "tidak bermanfaat."

Sementara itu, Kamil yang juga timbalan ketua Pemuda PKR kebangsaan berkata tiada bukti menunjukkan kerajaan pusat mempengaruhi dalam pembatalan siaran takbir raya PN di TV3.

"Cubaan mengaitkan kerajaan persekutuan terhadap pembatalan siaran Takbir Raya PN juga adalah provokasi kepada kerajaan dan bertujuan memburuk-burukkan.

"Keputusan pembatalan program oleh Media Prima tidak mempunyai sebarang pengaruh dari kerajaan. 

"Sekiranya PN ingin mendapatkan maklum balas menjangkaui 'ralat teknikal' yang dimaklumkan, rujukan sebaiknya ditujukan kepada stesen televisyen berkaitan, bukan sewenang-wenangnya membuat dakwaan umum yang kerajaan bertanggungjawab ke atas pembatalan siaran takbir raya politik yang dibiayai oleh PN," katanya.

Terdahulu, Takiyuddin dalam kenyataan media yang sama meminta pihak pengurusan TV3 dan kerajaan persekutuan khususnya Kementerian Komunikasi dan Digital bersikap "jujur" dalam isu pembatalan siaran takbir hari raya PN pada 21 April lalu.

Kata Ahli Parlimen Kota Bharu itu bahawa pembatalan siaran berkenaan - yang dibayar parti terbabit - hanya dimaklumkan melalui e-mel yang dihantar kira-kira lima minit sebelum takbir berkenaan dijadual disiarkan pada jam 10.20 malam.

Pihak TV3 memberitahu langkah itu terpaksa diambil kerana masalah teknikal sekali gus berjanji akan memulangkan bayaran yang dibuat oleh PN sebelum itu, 

Namun, PN beranggapan sebagai sebuah televisyen ternama insiden itu tidak harus berlaku sama sekali.