Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Ada apa dengan resah MB menanti rumah terbuka Madani?

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

ULASAN | Baru beberapa hari kita meraikan Syawal, sudah kedengaran bunyi-bunyi politik sumbang dalam isu remeh.

Misalnya reaksi Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor terhadap majlis rumah terbuka membabitkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Sanusi menganggap Rumah Terbuka Malaysia Madani merupakan program politik yang membazirkan duit rakyat dan bertentangan dengan langkah penjimatan kerajaan.

Bagi Sanusi, program itu lebih bersifat kempen pilihan raya berbanding sambutan hari raya.

Komentar pemimpin PAS itu sebenarnya remeh dan tidak mencerminkan semangat muhibah. Ironinya, sikap Sanusi amat berbeza dengan Menteri Besar Kelantan dan Terengganu yang amat terbuka dengan penganjuran program sama di negeri terbabit.

Adakah itu memberi bayangan bahawa sebenarnya pemimpin PAS Kedah berada dalam keadaan cacamarba berbanding kerajaan Kelantan dan Terengganu?

Penganjuran rumah terbuka di luar Seri Perdana adalah satu pendekatan segar. Ia lebih mesra rakyat untuk membua ruang kepada pemimpin negara berjumpa dengan orang ramai khususnya di luar Lembah Klang.

Ada pengalaman luas

Bahkan hubungan erat di antara rakyat, kerajaan negeri, dan kerajaan pusat dapat diperkukuh. Tetapi mengapa Sanusi begitu gelisah dan 'melompat'?

Ketika ini prestasi Anwar dan kerajaan perpaduan dilihat mendapat sambutan positif daripada rakyat. Benar, di sana sini ada juga berlaku kelemahan, namun kerajaan perpaduan komited mengatasinya.

Perubahan drastik dalam beberapa sektor dan institusi yang menguntungkan rakyat juga sedang dilaksanakan dengan serius.

Pemimpin nasional seperti Anwar memang amat dekat dengan rakyat Kedah sejak mudanya. Justeru dapat difahami mengapa kerajaan negeri itu berasa 'goyang' kerana sejak lama dulu politik di Kedah banyak dipengaruhi oleh tokoh besar peringkat nasional.

Di situlah letaknya kekurangan PN Kedah - mereka ketandusan figura nasional untuk bersaing dengan Anwar bagi mendapatkan sokongan rakyat.

Dari sudut yang berbeza, orang Kedah sudah biasa dengan pertukaran kerajaan negeri sejak 2008. Pengundi Kedah secara asasnya berpengalaman luas dalam menilai baik buruk kepimpinan dan prestasi BN, PH, mahupun PN.

Populariti calon menteri besar bukan satu ukuran tepat melihat pola pengundian di Kedah.

Faktanya, selepas pertukaran kerajaan pada 2008, tidak ada seorang pun menteri besar yang bertahan lebih sepenggal di Kedah. Konflik dalaman parti kerajaan sering menjadi punca politik negeri itu tidak stabil dan kerap berlaku pertukaran.

Jadi, menjelang PRN tidak lama lagi memang tidak mustahil sama sekali PN dan Sanusi akan ditolak pengundi ketika mereka masih tidak menunjukkan prestasi yang baik setakat ini.

Pada masa sama, Sanusi tidak seharusnya bimbang akan pengaruh PH dan BN jika dia benar-benar yakin PN akan menang 33 daripada 36 kerusi dewan undangan negeri di Kedah.

Tetapi, unjuran Sanusi yang dibuat berdasarkan keputusan PRU ke-15 pada tahun lalu itu tidak memberi jaminan apa-apa. Hal itu kerana momentum ‘gelombang hijau’ pada tahun lalu itu kini mengendur.

Situasi PN dan PAS Kedah juga banyak berubah. Kini PN terpaksa menjawab pelbagai isu termasuk skandal Jana Wibawa yang dikaitkan dengan pemimpin kanan Bersatu.

Cabaran yakinkan rakyat

Perlu diingat, Sanusi juga merupakan pengarah pilihan raya bagi PN. Situasi itu meletakkan dia menanggung beban berat kerana di depannya adalah cabaran untuk memenangkan PN di enam negeri.

Jika prestasi mereka merudum dan Kedah bertukar kerajaan, sudah pasti reputasi Sanusi akan runtuh, sama ada di dalam atau di luar partinya.

PRN Kedah juga bakal menyaksikan persekitaran baru. Dengan lulusnya enakmen antilompat parti di Kedah pada 15 Mac lalu, ia memberi jaminan kepada pengundi bahawa insiden pengkhinatan akan dapat dikekang.

PRN akan datang ini juga menjadi masa terbaik buat rakyat Kedah menilai prestasi Sanusi termasuk kecekapannya menguruskan masalah rakyat seperti gangguan bekalan air, bencana alam, banjir, dan pembangunan.

Pun begitu perlu juga ditanyakan: Sejauh mana pula BN dan PH mampu mengembalikan keyakinan rakyat Kedah terhadap kerajaan perpaduan?

Imej Umno-BN masih negatif di mata pengundi Kedah yang telah menolak parti itu sejak PRU ke-14. Kepimpinan Ahmad Zahid Hamidi tidak memberi nilai tambah untuk meyakinkan pengundi Kedah.

Sosok Anwar memang laku untuk menarik sokongan pengundi atas pagar, cuma tidak masuk akal jika PH dan BN hanya mengharapkan pengaruh ahli parlimen Tambun itu memenangi sokongan rakyat melalui program rumah terbuka.


FAKHRURRAZI RASHID ialah pembaca Malaysiakini.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi portal ini.