Skip to main
Logo Malaysiakini

Pameran awam EIA PSI: Majoriti maklum balas positif - JAS

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Hasil pameran awam Laporan Kajian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) bagi projek Penebusgunaan Tanah di Pulau Pinang Selatan (PSI) telah mendapat majoriti ulasan positif daripada responden.

Ketua Pengarah Alam Sekitar Malaysia Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata pameran awam pada 20 Mei hingga 18 Jun 2022 secara hibrid dan pada 21 November 2022 sehingga 4 Januari 2023 telah mendapat ulasan positif seperti dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas, mewujudkan peluang pekerjaan baharu, pembangunan ekonomi dan faedah kepada nelayan.

"Hasil daripada pameran awam EIA pertama, 3,464 ulasan awam telah direkodkan dan 93 peratus daripada responden tersebut memberikan ulasan yang positif manakala pameran EIA awam kedua, 799 ulasan orang awam telah diterima sepanjang tempoh pameran awam dan 73.7 peratus daripada responden yang diterima telah memberi ulasan yang positif," katanya dalam satu kenyataan di George Town, semalam.

Berikutan itu, Wan Abdul Latiff berkata Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah meluluskan Laporan EIA seperti mana yang diperuntukkan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 manakala kelulusan projek adalah di bawah bidang kuasa pihak berkuasa negeri.

Katanya, JAS telah membuat penilaian dari segi impak alam sekitar (magnitud dan tahap signifikannya) serta cadangan langkah-langkah mitigasi dan kawalan pencemaran dengan mengambil kira semua input daripada panel penilai dan orang awam supaya projek ini mendatangkan manfaat dan kesejahteraan kepada rakyat khususnya di Pulau Pinang.

"Surat kelulusan Laporan EIA bagi cadangan projek tersebut telah ditandatangani pada 11 April 2023 berserta dengan 71 Syarat-syarat Kelulusan Laporan EIA yang perlu dipatuhi oleh Penggerak Projek," katanya.

Beliau berkata setelah projek diluluskan oleh pihak berkuasa negeri (agensi pelulus projek), pelaksanaan projek tidak boleh dimulakan di tapak sehingga Penggerak Projek menyediakan Pelan Pengurusan Alam Sekitar dan dipersetujui oleh JAS terlebih dahulu.

"JAS juga telah menarik perhatian pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk memastikan pelaksana projek memberi perhatian serius terhadap impak sisa-sisa dan melaksanakan semua langkah mitigasi dan kawalan pencemaran tanpa gagal dengan nasihat teknikal jabatan-jabatan berkaitan termasuk Jabatan Perikanan Malaysia," katanya

Kelmarin, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow mengumumkan laporan EIA bagi projek PSI telah mendapat kelulusan daripada JAS di bawah Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

PSI merupakan projek pembangunan tiga pulau buatan berkeluasan kira-kira 1,700 hektar di perairan Permatang Damar Laut berdekatan Bayan Lepas.

Namun, projek itu mendapat bantahan komuniti nelayan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar kerana didakwa akan merosakkan ekosistem laut.

- Bernama