Skip to main
Logo Malaysiakini

KJ disebut-sebut bakal bertanding DUN Selangor - laporan

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin disebut-sebut bakal bertanding di salah satu kerusi DUN di bawah kawasan parlimen Sungai Buloh, sekiranya beliau menerima tawaran Bersatu untuk menyertai parti itu sebelum pilihan raya negeri akan datang.

Seorang pemimpin kanan PAS Selangor berkata nama Khairy, walaupun tidak tersenarai dalam senarai PAS untuk pilihan raya negeri, mungkin termasuk di bawah Bersatu.

"Lagipun kita memang menerima baik mana-mana pihak luar yang ingin bertanding mewakili PN dan boleh memberi kemenangan kepada kita.

"Malah, jika ada arahan daripada pimpinan Pusat untuk menarik pihak luar untuk bertanding dan memberi kemenangan, kita juga tidak ada masalah untuk itu,” katanya seperti dipetik Utusan Malaysia hari ini.

Gambar fail, Khairy ketika menjadi menteri sains dalam kabinet Muhyiddin.

Sebelum ini dilaporkan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menawarkan Khairy bertanding dalam pilihan raya negeri akan datang jika dia menyertai Bersatu.

Menurut Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris, tawaran itu dibuat apabila bekas menteri kesihatan itu melawat rumah Muhyiddin selepas dipecat daripada Umno.

Khairy bagaimanapun tidak menjawab tawaran itu dan meminta sedikit masa untuk membuat keputusan.

Terdapat tiga kerusi DUN di bawah kerusi parlimen Sungai Buloh iaitu Bukit Lanjan, Kota Damansara, dan Paya Jaras. Pada pilihan raya umum ke-15, Khairy bertanding di kerusi parlimen Sungai Buloh bagi pihak BN tetapi tewas kepada R Ramanan dari Pakatan Harapan dengan 2,693 undi.

Semalam, bekas Menteri Besar Perlis Shahidan Kassim memberi bayangan dia mungkin dilibatkan dalan perencanaan PN memenangi pilihan raya negeri (PRN) di Selangor tidak lama lagi.

Dia dikatakan sudah turun ke Semenyih beberapa kali.

"Sekiranya saya bertanding pun, bukan niat saya hendak pegang jawatan tetapi niat hendak pastikan PN menang.

"Terus terang saya katakan bahawa, saya tak perlu berebut jawatan dengan siapa kerana satu ketika saya sendiri pernah menjadi pemimpin besar," katanya seperti dipetik BH Online.

Pun begitu Shahidan dipetik sebagai berkata dia tidak mempunyai sebarang agenda merebut apa-apa jawatan namun sedia menggunakan pengaruhnya untuk membina "gelombang yang dahsyat" buat PN di negeri itu.

Semenyih merupakan kubu buat Umno-BN sehinggalah PH merampasnya dalam PRU ke-14 pada 2018. Bagaimanapun kemenangan itu dicapai melalui calon Bersatu - yang ketika itu menjadi komponen PH - iaitu Bakhtiar Mohd Nor dengan majoriti 8,964 undi.

Bagaimanapun pilihan raya kecil (PRK) terpaksa diadakan di kerusi itu apabila Bakhtiar meninggal dunia 11 Jan 2019.

Dalam PRK yang diadakan pada 2 Mac tahun itu BN kembali merampas kerusi tersebut melalui calon mereka, Zakaria Hanafi dengan kelebihan 1,914 undi.

Mengikut daftar pengundi pada 2018 yang digunakan dalam PRK tersebut, kawasan DUN Semenyih mempunyai 54,503 orang pemilih berdaftar.

Selangor bakal membubarkan dewan undangan negeri (DUN) - atau terbubar dengan sendirinya - tidak lama lagi bagi membolehkan PRN diadakan selaras dengan peruntukan perlembagaan.

Turut berdepan PRN ialah Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Kelantan dan Terengganu kini ditadbir PAS manakala yang lain-lain dipimpin oleh PH sejak PRU ke-14 yang berlangsung pada 2018.

Semua negeri terbabit tidak membubarkan DUN masing-masing pada 2022 apabila PRU ke-15 diadakan.

Selain pernah menjadi menteri besar, Shahidan merupakan bekas menteri dan anggota Majlis Kerja Tertinggi Umno sebelum digugurkan daripada menjadi calon parti tersebut pada 2022.

Dia kemudian menyertai PAS dan menjadi calon PN pada tahun lalu.