Skip to main
Logo Malaysiakini

Sanusi: Hubungan dengan PM keruh kerana peranan 'Little Napoleon'

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Kira-kira sehari sebelum berlangsungnya Rumah Terbuka Malaysia Madani di Alor Setar, Muhammad Sanusi Md Nor memberi kenyataan untuk menasihatkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengenai pentadbiran di Putrajaya.

Menurut Menteri Besar Kedah itu dalam kerajaan sekarang Anwar seperti memberi tempat kepada pihak tertentu - yang digelarnya sebagai Little Napoleon - dan merekalah menjadi punca hubungan dia dengan perdana menteri menjadi keruh.

Menegaskan pandangan itu diberikan secara ikhlas, Sanusi berkata dia berharap jangan ada pegawai di Pejabat Perdana Menteri menjadi Little Napoleon berkenaan.

"Little Napoleon jangan diberi tempat dalam pentadbiran," katanya seperti dipetik BH Online.

Pada masa sama Sanusi menegaskan dia tidak mengizinkan ada Little Napoleon dalam pentadbirannya di Kedah.

"Semua perlu tanya saya dulu, tapi saya nampak dalam pentabdiran perdana menteri, ada Little Napoleon yang akan timbulkan perpecahan.

"Niat dia bagus nak menonjolkan bos dia tetapi sebenarnya boleh cetus perkara yang tidak diingini seperti kes saya di LIMA'23, Majlis Kewangan Negara dan terbaru Rumah Terbuka Malaysia Madani.

"Itu semua kerja Little Napoleon, saya ikhlas cakap. Saya harap perdana menteri dapat mendengar suara saya. Kalau tak sesuai tukarlah pegawai lain," katanya semalam.

Dalam kalangan empat menteri besar dari PAS-PN ketika ini, Sanusi dilihat begitu ketara mengecam serta mengundang kontroversi semasa membabitkan hubungan kerajaan negeri dan Putrajaya.

Antaranya isu jemputan menyertai Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (Lima) 2023 dan pembabitan dalam Majis Kewangan Negara.

Sanusi juga lantang mengkritik penganjuran rumah terbuka yang dijadual diadakan di Alor Setar esok sebagai membazir serta bermotifkan kempen menjelang pilihan raya negeri.

Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah sudah disahkan akan turut hadir di rumah terbuka berkenaan.

Tanpa memberikan bayangan lanjut mengenai Little Napoleon yang dimaksudkannya Sanusi juga memberitahu sebenarnya dia tidak ada sebarang masalah dengan Anwar.

"Ada seorang tokoh yang sebut mereka (Little Napoleon) ini sebagai syaitan kecil. Saya nampak ia berlaku.

"Sebenarnya saya dan perdana menteri tak ada apa-apa (permusuhan).

"Kes waktu kempen di pilihan raya umum (PRU) sebelum ini, itu kes lain. Tetapi, apabila sudah jadi perdana menteri dan saya menteri besar kena berurusan G2G (kerajaan dengan kerajaan). Tak patut berlaku seperti itu," katanya.