Skip to main
Logo Malaysiakini

Membazir ke santuni, beri rakyat makan? - Anwar

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa penganjuran majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani di enam negeri bukan sebagai pembaziran, tetapi  sebaliknya bertujuan untuk menyantuni rakyat.

 “Kerajaan di mana-mana pun akan buat (majlis rumah terbuka), bukan membazir kerana kita beri makan kepada rakyat. Bagi saya ia tidak membazir.

 "Kalau buat atas kapasiti peribadi termasuk keluarga, wajarlah guna wang dari poket sendiri, tetapi ini (anjuran) kerajaan untuk rakyat dan (perbelanjaan) jauh lebih murah (jika) buat di Alor Setar, Kedah berbanding di Putrajaya," katanya.

Anwar berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jaminul Ehsan, Kampung Kubu Gajah di Sungai Buloh di Kuala Lumpur yang turut dihadiri Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Kenyataan Anwar itu dibuat susulan dakwaan ketua whip PN Takiyuddin Hassan yang berkata majlis rumah terbuka itu jelas 'melampau' serta mencabar maruah kerajaan negeri terbabit.

Majlis rumah terbuka sempena Aidilfitri akan diadakan di Kedah, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu, dengan Kedah menjadi lokasi pertama esok.

Ditanya mengenai dakwaan Muhammad Sanusi Md Nor yang mendakwa dirinya tidak dijemput ke majlis esok, Anwar berkata dia pihak penganjur sudah menghantar jemputan kepada menteri besar Kedah itu.

“Saya difahamkan (Muhammad Sanusi) dijemput…Tuanku (Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah) akan berangkat (esok), jadi MB (Menteri Besar) pun dijemput,” katanya.

Sementara itu, Anwar berkata persiapan Rumah Terbuka Malaysia Madani di Kedah yang akan berlangsung di Hotel Raia, Alor Setar esok amat baik, dan beliau dijadualkan meninjau persiapan akhir majlis berkenaan petang ini.