Skip to main
Logo Malaysiakini

Persatuan Orang Asli dakwa majlis 'disekat' lepas jemput pemimpin PN

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia (Poasm) berkata pihaknya secara tiba-tiba dimaklumkan malam tadi mereka tidak lagi mendapat kebenaran daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) untuk menggunakan dewan serbaguna di Gombak, Selangor untuk mesyuarat agung tahunan (AGM) pertubuhan itu.

Menurut Timbalan Presiden Poasm Sakaria Awang, mereka dimaklumkan mengenai pembatalan itu kerana persatuan tersebut menjemput pemimpin pembangkang untuk merasmikan AGM mereka.

"Permohonan kelulusan pada 16 April memang dah lulus, pihak Jakoa pun dah bagi surat rasmi bagi penggunaan dewan tersebut.

"Tetapi semalam, jam 7.30 malam, mereka menghantar melalui emel rasmi mengatakan dalam surat Jakoa, pembatalan untuk gunakan dewan adi saya tak pasti," katanya ketika dihubungi Malaysikini hari ini.

AGM Poasm, yang dijadual berlangsung 11.30 pagi hari ini di dewan serbaguna Gombak, telah menjemput pemimpin Gerakan, sebuah parti politik dalam gabungan Perikatan Nasional (PN), termasuk Presidennya Dominic Lau.

Sakaria berkata pihaknya juga dimaklumkan polis akan menyiasat perkara itu dan mungkin persatuan berkenaan akan dikenakan pertuduhan.

"Kita dapat maklumat dari IPD Gombak semalam bahawa mereka akan caj kita gunakan dewan tanpa permit

"Alasan dinyatakan di situ kita menjemput perasmi daripada parti pembangkang," dakwanya.

K’jaan macam tak minat nak tolong

Bagaimanapun, dia berkata Poasm akan meneruskan rancangan mereka untuk mengadakan AGM mereka di dewan itu pada hari ini.

"Ramai orang nak datang... pemimpin pembangkang juga akan datang. Kami tidak tahu apa kan jadi, tapi tengoklah nanti," katanya lagi.

Sakaria berkata persatuan itu telah cuba menjemput wakil kerajaan dan surat jemputan telah dihantar seawal dua bulan lalu.

Bagaimanapun, mereka tidak menerima sebarang maklum balas daripada kerajaan.

"Nampaknya macam mereka tidak berminat nak tolong kami. Tak ada jawapan (daripada kerajaan) jadi kami jemput pemimpin pembangkang," kata Sakaria.

[Baca berita asal]