Skip to main
Logo Malaysiakini

Kerusi PRN: Umno runding PH dulu, baru MCA dan MIC - BN P Pinang

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

BN akan melibatkan MCA dalam rundingan kerusi antara BN dan Pakatan Harapan di Pulau Pinang, kata pengerusi BN negeri Musa Sheikh Fadzir (gambar judul).

Dia bersetuju dengan kenyataan pengerusi MCA Pulau Pinang Tan Teik Cheng (gambar, bawah) bahawa perbincangan rundingan kerusi antara kedua-dua gabungan itu harus merangkumi semua parti komponen.

Bagaimanapun, katanya pertemuan antara parti PH dan Umno pada minggu depan hanyalah rundingan untuk pusingan kali pertama sahaja.

"Ini hanya salah faham saja. Memang BN termasuk MCA kita akan bincang, memang betul pun. Tapi bukan sekarang.

"Kita ada dua langkah. Satu langkah kawasan Melayu dulu, kawasan yang Umno bertanding dulu, lepas tu baru kita buat rundingan kali kedua di bawah BN.

"Jadi, apa dia cakap memang betul. Kena bincang sekali dengan MCA. Tapi, kita belum bincang lagi pun," katanya kepada Malaysiakini.

Sebelum ini, Tan menegaskan rundingan agihan kerusi antara PH dan BN harus merangkumi semua parti komponen gabungan itu.

"Kami mengulangi bahawa sebarang perbincangan harus merangkumi setiap parti komponen kerajaan perpaduan, demi memelihara integriti dan kepercayaan antara parti," kata Tan.

Bincang kerusi majoriti Melayu dulu

Namun, Musa berkata bahawa rundingan kali pertama antara dua gabungan itu melibatkan PKR, Amanah dan Umno untuk membincangkan kerusi kawasan majoriti Melayu di negeri itu.

"Lepas tu baru kita bincang MCA dengan MIC. Tidak ada masalah dengan itu," katanya.

Pada PRU14, BN hanya menang dua kerusi DUN di Pulau Pinang di mana kedua-dua daripada Umno.

Sementara itu, Ketua Setiausaha PH, Saifuddin Nasution baru-baru ini berkata bahawa gabungan PH dan BN bersetuju semua kerusi penyandang akan kekal kepada parti yang menang pada PRU14 bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri nanti.