Skip to main
Logo Malaysiakini

NGO saran pengampunan diraja untuk pesalah kes dadah

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Kerajaan harus mempertimbangkan pengampunan diraja bagi banduan yang disabitkan dengan kesalahan dan berkaitan dadah serta telah berjaya menjalani lebih separuh dari hukuman mereka, kata Majlis Penyalahgunaan Bahan Malaysia (Masac).

Setiausaha Agung NGO itu, Raja Azizan Suhaimi turut mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan pengampunan bagi bekas penagih dadah yang telah bebas daripada penyalahgunaan dadah sekurang-kurangnya lima tahun.

Katanya, melalui perkara itu ia membantu bekas penagih untuk berpeluang menjalani kehidupan normal dan memulakan kehidupan baru dengan rekod jenayah bersih.

"Sempena Hari Antidadah Antarabangsa yang akan disambut pada 26 Jun 2023 ini yang telah diraikan sejak Jun 1987 oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Masac ingin menyeru kepada Kerajaan Madani yang ada kini untuk memilih 25 peratus atau suku dari jumlah banduan kes berkait dadah di Malaysia termasuk warganegara dan bukan warganegara yang telah berjaya menjalani lebih separuh dari hukuman mereka untuk diberi pengampunan dipilih oleh kerajaan Malaysia untuk diajukan kepada Lembaga Pengampunan untuk pertimbangan pengampunan Diraja oleh Yang di-Pertuan Agong atau sultan negeri.

"Mereka ini dipilih bagi semua kes dadah sama ada yang menggunakan dadah, atau yang menjual dadah atau kes berulang dengan syarat mendapat sokongan dan rekomen dari pihak Penjara Malaysia kerana telah dilihat dan dipercayai berjaya proses pemulihan program di penjara.

"Masac percaya idea ini sekiranya dilaksanakan ketika ini akan berjaya mengurangkan kesesakan di penjara seluruh negara, mengurangkan kos selenggaraaan banduan dadah yang diyakini dan dipercayai oleh Jabatan Penjara Malaysia telah berubah dan boleh dikembalikan kepada masyarakat untuk balik semula menyumbang bakti membangunkan negara dan menjaga keluarga mereka kerana telah bebas permasalahan dadah," katanya.

Menurut Raja Azizan, amalan memberi pengampunan diraja dengan tujuan memberi peluang kedua dalam hidup banduan adalah terpuji dan perlu diperluaskan kepada mereka yang dijatuhkan hukuman atas kesalahan berkaitan dadah.

Dia berkata pengampunan diraja juga boleh membantu bekas banduan mendapatkan pekerjaan yang sesuai dengan kemahiran dan minat mereka.

"Tindakan baik ini akan mampu memberikan mesej jelas akan usaha murni negara ini mengharmonikan kehidupan insan dengan memberikan peluang kedua yang jelas dan nyata agar mereka yang terpilih ini menunjukkan kepada masyarakat dan dunia bahawa masalah penagihan boleh dirawat," kata Raja Azizan lagi.