Skip to main
Logo Malaysiakini

Miros mahu teliti dakwaan Perodua 'model Axia baru selamat'

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) akan bertemu dengan Perodua dan menjalankan penilaian ke atas model Axia barunya, kata pengerusi Miros Wong Shaw Voon.

Ini berikutan pendedahan baru-baru ini oleh Toyota Motor Corp dan syarikat sekutunya Daihatsu bahawa Daihatsu dikatakan tidak mematuhi sebahagian ujian keselamatan perlanggaran sisi pintu yang dijalankan untuk kira-kira 88,000 kereta kecil, termasuk kira-kira 11,800 Perodua Axia yang dijual di Malaysia.

Wong memberitahu Malaysiakini bahawa institut itu mahu meneliti dakwaan Perodua bahawa kereta Axia barunya selamat untuk dipandu dan tidak terjejas oleh isu itu.

“(Miros) akan berjumpa mereka dan menilai dengan sewajarnya.

"Kami akan meneliti apa yang mereka dakwa," katanya melalui pesanan teks.

Miros merupakan agensi di bawah Kementerian Pengangkutan yang ditugaskan untuk menjalankan kajian mengenai hal keselamatan jalan raya termasuk menilai aspek keselamatan kenderaan penumpang.

Dua hari lalu, Reuters melaporkan Toyota Motor dan Daihatsu telah mengakui kemasan pintu pada kenderaan yang terjejas telah diubah suai dengan "takuk" (notch) untuk meminimumkan risiko dalam ujian disebabkan bahagian dalam pintu boleh pecah dengan tepi tajam dan menyebabkan kecederaan kepada penumpang apabila beg udara sisi digunakan dalam kemalangan.

Syarikat-syarikat itu dilaporkan berkata bahawa pengubahsuaian untuk ujian bukan sebahagian daripada kenderaan pengeluaran. Daripada 88,000 lebih kenderaan itu, kira-kira 11,800 kenderaan terjejas adalah Axia yang dikeluarkan oleh Daihatsu di kilang usaha sama yang dikendalikannya dengan pembuat kereta Malaysia Perodua. Kereta tersebut dijual di Malaysia.

Bagaimanapun, Perodua dilaporkan berkata Axia baru itu selamat untuk pemanduan.

Menurut Bernama, Perodua berkata ia tidak akan melakukan sebarang panggilan balik atau menggantung penghantaran model itu kepada pelanggannya walaupun terdapat "ketidakaturan prosedur" baru-baru ini yang diketengahkan oleh Daihatsu.

Ia memetik presiden dan ketua pegawai eksekutif Perodua Zainal Abidin Ahmad, yang berkata syarikat itu telah menghubungi Daihatsu untuk melakukan ujian keselamatan bagi Perodua Axia baru di Jepun, yang disaksikan oleh pihak berkuasa dan agensi berkaitan untuk penilaian mereka.

[Baca berita asal]