Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Kembalinya 3 negeri dalam kesatuan rakyat

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Hampir 35 tahun PAS memerintah Kelantan. Sejak pilihan raya kelapan, pada 1990, PAS merampas Kelantan sampai ke hari ini. Waktu itu PAS tidak sendirian dan turut didukung oleh beberapa parti lain, seperti Semangat 46, Berjasa, Hamim dan Kimma yang membentuk Angkatan Perpaduan Ummah (APU).

Semua parti yang mendukung PA, akhirnya tidak ke mana atau dikhianati oleh PAS—mereka dibenam dan dibunuh di tengah jalan. Bahkan, Semangat 46 yang menjadi parti serpihan Umno juga gulung tikar; sementara PAS memperoleh keuntungan besar kesan perpecahan dalaman Umno.

Berdasarkan sejarah ini, Bersatu juga dijangka akan mengalami nasib yang sama, tidak berapa lama lagi.

Kita harus menyedari, politik Kelantan agak berbeza dengan negeri-negeri lain. Dahulu, di sana ada sosok Nik Aziz Nik Mat—dan kata orang, selagi Nik Aziz hidup, Umno tidak akan dapat menawan semula Kelantan. Orang Kelantan merasakan negeri mereka tidak mendapat keadilan yang wajar dari perdana menteri keempat yang juga presiden Umno waktu itu, Dr Mahathir Mohamad.

Politik Mahathir memang keras. Dia tidak minat untuk berunding. Lebih-lebih dengan PAS di mana pada waktu mudanya, dia pernah kalah dengan calon PAS di parlimen Kubang Pasu.

Mahathir juga seakan tidak pernah memaafkan Tengku Razaleigh Hamzah yang pernah mencabarnya dalam Umno. Dendam Mahathir terhadap Ku Li, terlampias ke Kelantan.

Maka tidak hairanlah di era Mahathir, peruntukan kepada Kelantan sangat kecil. Negeri tu diseksa. Kalau projek-projek pembangunan, di mana kawasan PAS, maka tidak dilayan. Juga menjadi buah mulut, jalan kampung yang diturap pun berselang-seli; di depan rumah orang PAS, tidak diturap; bila di depan rumah orang Umno, diturap semula. 

Politik dengki melahirkan politik dendam. 

Melihat ketidakadilan sebegitu, maka perasaan dendam menjadi sangat mendalam termasuk kepada anak-anak orang PAS yang sampai hari ini pun, walaupun sudah bekerja di Lembah Klang, tapi apabila pulang untuk mengundi dalam PRU, mereka tetap memangkah PAS.

Tapi, Mahathir bukan lagi PM! Dia semakin tidak relevan dalam politik semasa walaupun hari ini khabarnya masih terkial-kial berkomplot untuk menggulingkan Anwar Ibrahim yang baginya sangat mengancam beberapa kepentingannya yang tidak pernah terusik sekian lama. Macam biasa, Mahathir akan cuba memainkan sentimen kaum, konon pembela nasib orang Melayu—walaupun rekod juga menunjukkan banyak tindakannya telah jelas merugikan bangsa Melayu, apatah lagi rakyat Kelantan.

Politik dendam PAS-Umno era Mahathir 

Kini tiba masanya, anak Kelantan termasuk anak-anak muda sama ada yang tinggal di Kelantan atau di perantauan harus memikirkan kembali nasib keluarga dan negeri mereka. Politik dendam PAS-Umno era Mahathir sebenarnya sudah boleh dicampak ke dalam bakul sampah sejarah.

PM Anwar nampak gigih memulakan langkah perpaduan yang baharu. Kini usaha beliau yang paling mencabar ialah untuk menyatupadukan semula Malaysia. Perpaduan itu bukan sahaja melibatkan parti-parti politik yang kini bersama Kerajaan Perpaduan, tetapi yang lebih penting ialah melibatkan negeri-negeri dan rakyat keseluruhannya; dari Perlis sampai ke Sabah.

Walau apa pun kritikan dan cemuhan, selepas PRU lalu Anwar berjaya membentuk kembali muafakat raya yang signifikan dalam sejarah Malaysia sejak merdeka dengan penglibatan parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH), parti-parti dalam B, parti-parti dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS), parti-parti dalam Gabungan Parti Sabah (GPS) dan juga beberapa parti lain yang tidak berada dalam mana-mana gabungan utama.

Usaha berkenaan menghidupkan harapan untuk Malaysia untuk disatukan selepas lebih tiga dekad berpecah dan berbalah. Syarat terpenting bagi menjayakan usaha ini ialah setiap rakyat wajar bersedia untuk meninggalkan era atau babak perpecahan yang disemai oleh Mahathir, dengan kembali menginsafi perjuangan nenek-moyang kita sewaktu mahu mencapai kemerdekaan dahulu.

Gaya politik PAS yang selalu menangguk di air keruh dan mengambil kesempatan daripada pergeseran parti-parti dalam kerajaan juga antara penyebab perpecahan Melayu yang wajar ditinggalkan. Cara politik tidak budiman (gentleman) sebegitu telah memberi kesan buruk yang bukan sedikit kepada pembangunan beberapa negeri yang kini ditadbir oleh PAS sendiri, sama ada Terengganu, Kedah tak terutama-tamanya, Kelantan.

Kalau hendak dibandingkan, amat malu kalau mutakhir ini ada wilayah tertentu di selatan Thailand misalnya yang dilihat mula mengecap kemajuan lebih baik berbanding Kelantan. Kita juga boleh membandingkan kemajuan yang dicapai di Terengganu dan Kedah 10-20 tahun seawal kemerdekaan dahulu, dengan apa yang wujud sekarang. Terasa sangat semakin terkebelakang—kecuali kepada mereka yang memang tidak jujur atau sengaja menutup mata hatinya.

Sebagai contoh dahulu, kalau ada sahaja pelancong dari luar datang ke Malaysia, antara negeri yang wajib mereka lawati ialah Terengganu dan Kelantan kerana kekayaan alam yang indah dan budayanya. Kini kedua negeri berkenaan boleh dikatakan bukan lagi pilihan utama pelancong—sama ada domestik atau orang luar. Sayang sekali, sedangkan baik budi orang Kelantan dan Terengganu beserta keindahan alamnya adalah tetap sama seperti dahulu. 

Nada lama yang terus dimainkan oleh pemimpin PAS di Kelantan dan Terengganu ialah dengan galak mahu berbalah dengan Putrajaya; bermain politik play victim iaitu kononnya mereka adalah mangsa ketidakadilan, tetapi dalam masa sama mengharap orang lain (iaitu pemimpin pusat) menyelesaikan masalah yang timbul oleh ketidakcekapan pimpinan PAS sendiri. Sikap politik keanak-anak begini, sangat mendukacitakan.

Pemikiran lapuk 

Strategi play victim sebegitu tidak lebih akibat diheret oleh pemikiran lapuk sepertimana yang wujud selepas Perang Dunia Kedua dan Perang Dingin dahulu. Lihat sahaja di mana negeri-negeri Komunis yang kalah perang menganggap konon mereka adalah mangsa ketidakadilan dunia.

Contoh yang masih wujud ialah Korea Utara. Pimpinan Korea Utara—seperti juga biasanya kepimpinan PAS di Kelantan, Terengganu dan Kedah—yang terus galak membakar sentimen konon mereka ditindas, sementara dalam waktu sama, pemimpin mereka sendiri yang menganiaya rakyatnya dengan pelbagai dasar yang tertutup, keras dan ketinggalan zaman. Apakah Putrajaya zalim kalau pimpinan PAS di negeri terus kemaruk menukar kereta mewah daripada duit royalti?

Isu di Kedah pula, keperibadian menteri besarnya bak kata orang Kedah sendiri, “banyak putaq”. Dia dilihat banyak bercakap politik sementara amat sedikit usaha untuk membangunkan negeri. Dalam hal asas seperti bekalan air bersih juga tidak dapat dilunaskan sehingga jutaan rakyat menadah air sewaktu perayaan Aidilfitri lalu seperti menadah sedekah daripada MB Kedah itu. Rakyat Kedah tidaklah seramai penduduk Lembah Klang, dan itu pun masih gagal diurus dengan wajar. 

Sudah menjadi jenaka juga apabila PAS (melalui PN) akhir-akhir ini ada hati pula mahu menawan Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang. Cita-cita PAS dilihat tidak lain hanya mahu mengaut kekayaan ketiga negeri berkenaan untuk menutup kantung yang sudah kering di Terengganu, Kedah dan Kelantan. Tidak lebih daripada itu!

Memang wajar rakyat menjadi takut dan cuak, kalaulah PAS berjaya menawan Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang, maka ketiga-tiga negeri itu dalam tempoh lima tahun ke depan akan menjadi seburuk Kelantan! Sampah di mana-mana, banjir tidak terurus saban tahun, rakyat tidak ada pekerjaan, sementara peniaga juga tidak berminat lagi untuk melabur. Dalam kegelapan sebegitu, orang Melayu masih mahu ditundukan dengan mainan tunggangan politik agama yang sangat tidak bertanggungjawab.

Rakyat tidak boleh lagi berbuang masa. Politik uji-cuba perlu dinoktahkan. Satu keputusan waras dan berani perlu diambil oleh rakyat Kelantan, Terengganu dan Kedah dalam PRN enam negeri yang bakal berlangsung tidak berapa lama lagi dengan tekad mengembalikan negeri-negeri yang ditadbir oleh PAS menjadi seiring dengan pentadbiran Putrajaya di bawah parti-parti Kerajaan Perpaduan.

Tiada apa yang mustahil apabila rakyat sudah bulat tekad. Andai dengan izin Allah jua Kedah, Terengganu dan Kelantan dapat ‘disatukan’ semula, di sana nantilah seluruh rakyat wajar kembali berbangga demi sebuah perpaduan selepas kemerdekaan yang diperjuangan bapa, ibu dan datuk-nenek kita. Inilah peluang untuk menebus maruah selepas satu ketika dipermainkan oleh mamak bendahara.


HASMI HASHIM atau turut dikenali sebagai Budi Hekayat ialah seorang penulis lirik dan penyokong kuat PKR.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.