Skip to main
Logo Malaysiakini

M'sia capai rekod kebebasan akhbar paling tinggi

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Malaysia menduduki tempat ke-73 dalam Reporters Without Borders (RSF), 2023 World Press Freedom Rankings, meningkat daripada 113 tahun lepas.

Ini kedudukan tertinggi yang pernah dicapai oleh Malaysia. Rekod sebelum ini dicatatkan pada 2020 apabila Malaysia berada di kedudukan 101 daripada 180 negara.

Malaysia telah mendahului kedudukan dalam kalangan negara Asean selama dua tahun berturut-turut.

Kedudukan negara Asean yang lain seperti berikut Thailand (106), Indonesia (108), Singapura (129), Filipina (132), Kemboja (147), Vietnam (178), Laos (160) dan Myanmar (173).

Namun, Timor-Leste, yang sedang menunggu kemasukan ke Asean, menduduki tempat kesepuluh, malah lebih baik dari New Zealand (13) dan Australia (27).

Kedudukan itu didedahkan menjelang pelancaran rasmi laporan itu pada jam 9 malam waktu Malaysia oleh Setiausaha Negara AS Anthony Blinken.

RSF ialah organisasi antarabangsa yang berpangkalan di Paris yang menyediakan sumber keselamatan kepada wartawan dan menjalankan penyelidikan tentang keadaan kebebasan akhbar di seluruh dunia.

Indeks Kebebasan Akhbar Dunia 2023 akan dilancarkan secara rasmi pada 3 Mei sempena Hari Kebebasan Akhbar Sedunia yang diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.