Skip to main
Logo Malaysiakini

Jambatan Enggor runtuh: 5,000 penduduk terjejas

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Kira-kira 5,000 penduduk di sekitar kawasan Kampung Enggor di Sungai Siput terjejas aktiviti harian setelah Jambatan Enggor yang menjadi penghubung mereka dengan kawasan berhampiran, runtuh semalam.

Jambatan sepanjang 13 meter itu runtuh dalam kejadian pada 11.40 malam tadi disebabkan arus Sungai Enggor yang deras berpunca daripada hujan lebat sejak seminggu lepas.

Seorang penduduk, Rafli Md Nor, 50, berkata ia merupakan kejadian ketiga dalam tempoh 20 tahun, sejak jambatan berusia 123 tahun itu dibina.

“Jambatan itu sudah lama dibina iaitu pada tahun 1900 dan ia telah pun uzur dan tidak selamat digunakan oleh penduduk di sini yang merupakan laluan utama penduduk sekitar yang perlu pergi bekerja dan menghantar anak ke sekolah.

"Sebenarnya dalam tempoh 20 tahun, jambatan ini pernah runtuh sebanyak tiga kali namun pihak berkaitan hanya melakukan kerja pembaikan dengan menambak semula jalan tersebut. Jadi, kami memerlukan jambatan baru yang kukuh dan selamat," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.

Menurutnya penduduk kampung boleh menggunakan laluan alternatif di Kampung Loh di sini yang jaraknya empat kilometer ke pekan Karai namun hanya kenderaan ringan seperti motosikal dan kereta sahaja boleh melalui jalan tersebut.

Seorang lagi penduduk, Ahmad Qarib Khairuddin, 54, berkata jambatan itu juga merupakan laluan utama pelancong ke Jambatan Victoria yang terletak kira-kira hanya satu kilometer dari jambatan berkenaan.

"Jadi, pelancong yang menaiki kenderaan berat seperti bas tidak boleh lagi ke Jambatan Victoria disebabkan laluan alternatif yang ada tidak sesuai dilalui kenderaan berat," katanya.

Gangguan bekalan air

Sementara itu, Ahli Parlimen Sungai Siput S Kesavan ketika dihubungi berkata jambatan itu dijangka mengambil masa kira-kira lapan bulan untuk dibaik pulih dan laluan itu sudah ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan.

"Bahagian teknikal Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Perak memaklumkan kerja-kerja pembaikan jambatan akan dilakukan secepat mungkin dan ia memerlukan satu peruntukan yang agak besar bagi kerja-kerja baik pulih tersebut," katanya.

Dalam pada itu, kejadian tersebut turut menyebabkan beberapa kawasan di Pekan Karai, Kampung Loh, Bendang Sungai, Kampung Kapur, Kampung Periang dan kawasan sekitarnya mengalami gangguan bekalan air akibat saluran paip utama pecah.

Lembaga Air Perak (LAP) di laman rasmi Facebooknya memaklumkan kerja-kerja baik pulih sedang dilakukan di lokasi kejadian dan gangguan berlaku sehingga kerja-kerja pembaikan selesai.

-Bernama