Skip to main
Logo Malaysiakini

EU, AS minta hati-hati Huawei: M'sia negara berdaulat, tegas Fahmi

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Kerajaan Malaysia berhak dan berkuasa tentukan dasar dalam negara, kata menteri komunikasi ulas potensi Huawei dalam rangkaian 5G Malaysia.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil hari ini menegaskan bahawa Malaysia sebuah negara berdaulat dan kerajaannya berhak membuat keputusan yang mereka fikir terbaik untuk negara.

Ini merupakan maklum balas rasmi kerajaan terhadap amaran oleh Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat (AS) mengenai potensi peranan Huawei Technologies Co Ltd China dalam pelancaran rangkaian 5G Malaysia.

"Penting untuk ditegaskan, sebagai sebuah negara yang berdaulat, Malaysia dan kerajaan Malaysia mempunyai hak dan kuasa untuk menentukan dasar dalam negara kita sendiri tanpa kacau ganggu dan keterlibatan mana-mana pihak lain.

"Tetapi saya percaya sebarang keputusan yang dibuat pihak kerajaan seperti telah kita lakukan hari ni bukan saja mendatangkan manfaat rakyat dan memacu pertumbuhan ekonomi, tetapi juga satu keadaan yang harmoni dengan isu antarabangsa,” katanya pada sidang media di Putrajaya petang ini .

Fahmi berkata demikian ketika ditanya mengenai laporan bahawa duta EU dan AS telah menulis kepada kerajaan bulan lalu.

Mereka dilaporkan memberi amaran kepada Malaysia mengenai risiko terhadap keselamatan negara dan pelaburan asingnya ketika kerajaan sedang memuktamadkan semakan pelancaran rangkaian 5G negara.

"Pegawai kanan di Washington bersetuju dengan pandangan saya bahawa menaikkan semula model sedia ada akan menjejaskan daya saing industri baru, menghalang pertumbuhan 5G di Malaysia, dan menjejaskan imej mesra perniagaan Malaysia di peringkat antarabangsa," tulis Duta Besar AS ke Malaysia Brian McFeeters (gambar, bawah) dalam salah satu suratnya, menurut Financial Times.

Sementara itu, Fahmi memberitahu pemberita bahawa pihaknya akan mengatur pertemuan dengan semua duta asing yang berminat dalam isu itu untuk menjelaskan kepada mereka.

"Sebarang keputusan yang dibuat pihak kerajaan seperti telah kita lakukan hari ini bukan saja mendatangkan manfaat kepada rakyat dan memacu pertumbuhan ekonomi, tetapi juga satu keadaan yang harmoni dengan isu antarabangsa.

"Saya percaya lepas adakan pertemuan dan beri penjelasan kepada pihak-pihak terbabit, mereka akan faham pendirian kerajaan Malaysia,” katanya.

Terdahulu semasa akhbar itu, Fahmi mengumumkan bahawa kabinet dalam mesyuaratnya hari ini memutuskan supaya pelancaran 5G Malaysia diteruskan oleh Digital Nasional Berhad (DNB) sehingga mencapai liputan 80 peratus kawasan berpenduduk, yang dijangka menjelang akhir 2023 .

Pelancaran itu kemudiannya akan bergerak ke arah mempunyai rangkaian dwi-borong, yang akan melibatkan pembekal rangkaian borong yang lain.