Skip to main
Logo Malaysiakini

Jambatan Enggor runtuh: K'jaan akan bina baru - Exco Perak

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Jambatan Enggor yang runtuh semalam akan dibina baru, kata Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Beliau berkata pembinaan jambatan baru itu dijangka mengambil masa kira-kira 15 bulan hingga dua tahun untuk disiapkan sepenuhnya manakala kos pembinaan jambatan itu akan diperincikan dalam masa terdekat.

"JKR (Jabatan Kerja Raya) akan membina jambatan ini mengikut kaedah dan reka bentuk yang baru dan terkini dan pastinya yang lebih selamat.

"Pembinaan jambatan itu juga akan mengambil kira kecerunan Sungai Enggor yang perlu diperkukuh, jadi ia akan mengelak sebarang hakisan pada masa depan," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di lokasi kejadian yang turut disertai Pengarah JKR Negeri Ir Hamdan Ali di Sungai Siput hari ini.

Mohammad Nizar berkata pihak JKR sudah membuat perancangan untuk melebarkan jambatan berkenaan, namun insiden runtuhan itu berlaku sebelum kerja-kerja berkenaan dimulakan.

Ditanya tentang Jambatan Bailey, Mohammad Nizar berkata tiada keperluan untuk membina jambatan itu berikutan penduduk kampung berkenaan mempunyai laluan alternatif sedia ada di Kampung Loh dekat Sungai Siput untuk ke Pekan Karai serta kawasan sekitar.

Terdahulu, kira-kira 5,000 penduduk di sekitar kawasan Kampung Enggor di Sungai Siput terjejas aktiviti harian setelah Jambatan Enggor yang menjadi penghubung mereka dengan kawasan berhampiran, runtuh semalam.

Jambatan sepanjang 13 meter itu runtuh dalam kejadian pada 11.40 malam tadi disebabkan arus Sungai Enggor yang deras berpunca daripada hujan lebat sejak seminggu lepas.

- Bernama