Skip to main
Logo Malaysiakini

Asyraf: Mereka yang cemburu saja cakap kerajaan akan tumbang

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki menyifatkan pihak yang mencanang kerajaan perpaduan akan tumbang adalah mereka yang "cemburu" kerana tidak dapat membentuk kerajaan.

Asyraf yang juga ketua sekretariat kerajaan perpaduan menegaskan seramai 148 ahli parlimen yang menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) untuk menyokong kerajaan perpaduan masih kekal dengan pendirian mereka.

"148 ahli Parlimen yang menandatangani memorandum persefahaman (MoU) kerajaan perpaduan masih lagi kekal kukuh dan yang paling penting ialah medan perbincangan sentiasa berjalan, bukan setiap bulan, tetapi setiap minggu.

"Biasalah orang yang tidak senang dengan kekuatan yang ada ini sebenarnya cemburu tidak dapat bentuk kerajaan lebih awal,” katanya dalam sidang media dan taklimat Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur hari ini.

Pada 3 Mei lalu, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah agar khabar angin mengenai kemungkinan berlaku pertukaran kerajaan di luar pilihan raya perlu dihentikan segera.

Melalui kenyataan dibuat di Facebook, Sultan Johor bertitah baginda berasa bimbang dengan desas-desus berkenaan walaupun pilihan raya umum (PRU) sudah enam bulan berlalu.

Titah baginda, sehingga kini semua 222 ahli parlimen masih tidak dapat bersepakat sehingga ada gerakan yang cuba menggagalkan kestabilan kerajaan.

Sebelum itu ada dalam kalangan pemimpin pembangkang seolah-olah memberi bayangan memiliki sokongan mencukupi bagi membentuk kerajaan.

Ditanya mengenai persiapan pilihan raya negeri (PRN), Asyraf berkata proses rundingan bagi pembahagian kerusi berjalan dengan positif.

Asyraf turut mengakui terdapat pertindihan kerusi antara BN dan Pakatan Harapan (PH), namun rundingan terus berjalan.

"Setakat hari ni nampak kerjasama untuk enam PRN antara PH dan BN amat baik sekali. Semua ada pertindihan sebab sebelum ini BN bertanding lawan PH.

"Tetapi perbincangan sedang berjalan. Saya menerima laporan yang boleh kita katakan amat positif dan konstruktif,” tambahnya lagi.

Mengulas mengenai konvensyen kerajaan perpaduan, Asyraf berkata seramai 10,000 dijangka menghadiri konvensyen yang buat julung kalinya diadakan itu.

Katanya, kesemua parti komponen yang terbabit dalam kerajaan perpaduan akan terlibat dalam konvensyen berkenaan.