Skip to main
Logo Malaysiakini

Sanusi: Majlis PAS 100 peratus anjuran parti, tak guna jentera k'jaan negeri

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Pusat yang diadakan di Kedah hari ini 100 peratus anjuran parti itu, menurut menteri besar Muhammad Sanusi Md Nor, membandingkannya dengan acara Rumah Terbuka Malaysia Madani yang juga diadakan di negeri itu sebelum ini.

“Hari ini adalah rumah terbuka PAS Pusat dan PAS Kedah yang dibuat serentak di sini.

“Ini 100 peratus anjuran parti politik. (Rumah Terbuka Malaysia) Madani itu kerajaan guna untuk politik, kita guna parti politik untuk politik. Itu besar bezanya,” katanya kepada pemberita di Kompleks PAS Kedah, Alor Setar, hari ini.

Katanya lagi, acara itu juga tidak menggunakan kemudahan kerajaan negeri meskipun dia menteri besar di Kedah.

“Alhamdulillah, rumah terbuka ini meriah. Saya nampak sambutan kepada rumah-rumah terbuka anjuran parti-parti politik sangat meriah di Kedah.

“Mungkin kerana menjelang pilihan raya. Menu pun sedap-sedap. Tapi menu kita ini dibuat oleh kawasan-kawasan dan negeri-negeri, kita tak pakai kementerian-kementerian

“Misalnya (PAS Kawasan) Sik masak nasi dengan gulai daging dengan pisang, PAS Kawasan Pendang (sediakan) 13 ekor kambing,” katanya.

MP Pendang Awang Hashim dan Muhammad Sanusi

Acara hari ini seminggu selepas kerajaan persekutuan menganjurkan Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani di Alor Setar dan turut dihadiri pemimpin utama kerajaan termasuk Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Hadi, Muhyiddin tak hadir

Dianggarkan ribuan hadir ke majlis hari ini yang turut dihadiri kepimpinan kanan PAS dan parti gabungan PN.

Antaranya Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainuddin, Mursyidul Am Pas Hashim Jasin, Timbalan Presiden Pas Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, Presiden Gerakan Rakyat Dominic Lau Hoe Chai, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Saifuddin Abdullah dan Ahli Parlimen PN Shahidan Kassim dan Rasol Wahid.

Bagaimanapun Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin tidak dapat hadir pada acara Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Pusat kerana difahamkan tidak sihat.

Acara rumah terbuka hari ini juga yang dijadualkan berlangsung sekitar jam 12.30 tengah hari terpaksa diawalkan berikutan kehadiran tetamu sekitar jam 10.00 pagi.

Selain menikmati pelbagai juadah yang disediakan, tetamu dikalangan kanak-kanak turut diberikan duit raya dimana setiap seorang menerima RM5.

Di luar perkarangan Kompleks PAS Kedah pula kelibat penjaja memenuhi kaki lima jalan masuk bangunan tersebut dengan memperdagang hasil jualan masing-masing - suasana yang sering dapat dilihat di sebarang program parti itu.

Unit Amal PAS pula menyediakan karung bagi mengutip derma daripada penyokong parti itu yang hadir.

Mengulas lanjut, Sanusi yang juga pengerusi PN Kedah menegaskan bahawa penganjuran rumah terbuka parti itu bukan bertujuan untuk bersaing dengan kerajaan persekutuan.

“PAS Kedah jadi tuan rumah seperti yang disangkakan orang bahawa ini adalah usaha untuk menyaingi Majlis Rumah Terbuka Madani. Tidak,” katanya.

Sementara itu, dalam sidang media berasingan, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata PAS terlebih dulu telah merancang untuk menganjurkan rumah terbuka partinya, dua bulan sebelum Ramadan.

“Sebenarnya PAS Pusat telah memutuskan untuk mengadakan di Kedah jauh lebih awal daripada yang diumumkan oleh perdana menteri sebenarnya,” katanya.