Mahfuz hanya nak tumpang populariti saya, kata Sanusi
Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa Pengerusi PH Kedah Mahfuz Omar mahu menumpang populariti dirinya, berhubung bayaran saman fitnah sebanyak RM120,000 yang perlu dibayarnya.
Ia selepas Mahfuz menuntut Sanusi segera menjelaskan bayaran itu, berserta kos tambahan, jika tidak mahu notis kebankrapan difailkan ke atasnya.
“Dia nak tumpang populariti saya, dia telah tenggelam dengan kalah lebih 31,000 undi (dalam PRU lalu) jadi apa jalan lagi nak naikkan nama dia balik.
“Tak ada kes pun dia cipta kes supaya nama dia boleh naik. Itu strategi politik Mahfuz sejak muda sampai tua,” katanya kepada pemberita di Kompleks PAS Kedah, Alor Setar, hari ini.
Katanya lagi, ia mungkin antara usaha Mahfuz untuk "muncul semula di persada politik negara" di saat kerjaya politiknya sudah "tumpul".
Semalam, Mahfuz berkata dia akan berbincang dengan peguamnya dalam masa terdekat untuk tindakan yang bersesuaian termasuk menyita aset Sanusi jika dia masih menangguh bayaran saman itu.
Mengulas lanjut, Sanusi berkata Mahfuz tidak perlu menggunakan media sosial demi meraih "publisiti murahan", sebaliknya menyerahkan isu pembayaran itu kepada peguam.
“Saya dah serahkan duit kepada peguam saya seminggu lalu dan peguam saya sedang berurusan dengan peguam dia (Mahfuz).
“Sebab itu saya kata perkara ini peguam dengan peguam, sebab kita dah lantik peguam masing-masing. Tak payahlah guna Facebook, Twitter semua itu," katanya lagi.
Semalam, Mahfuz juga berkata alasan Sanusi agar dia berurusan dengan peguamnya adalah tidak relevan kerana Menteri Besar itu sudah menangguhkan bayaran saman itu lebih dua minggu.
'Kerja peguam pun dia buat'
Berhubung kemungkinan notis kebankrapan difailkan, Sanusi yang juga pengerusi PN Kedah berkata isu itu tidak timbul kerana peguamnya sedang menguruskan pembayaran saman itu.
“Tidak ada isu bankrap, kalau bankrap sebab tak bayar. Peguam dah urus, semua proper dan ikut peraturan," katanya sambil menambah urusan antara peguam kedua-dua pihak pastinya memerlukan sedikit masa.
“Saya serah kepada peguam untuk uruskan, saya tak nak campur. Saya tak nak jadi macam dia, kerja peguam pun dia buat,” katanya lagi.
Pada 9 Oktober 2019, bekas Mahfuz yang merupakan bekas ahli parlimen Pokok Sena memfailkan saman berdasarkan hantaran dibuat Sanusi melalui akaun Facebooknya pada 30 Julai tahun sama, mengaitkannya dalam isu pemindahan premis judi ke kawasan itu.
Pada 3 April, Sanusi gagal dalam rayuan saman fitnah yang dalam kes tersebut selain Mahfuz memohon untuk menaikkan saman tersebut daripada RM50,000 kepada RM120,000.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai