PM: Projek tambak laut Selatan Pulau Pinang dikecilkan
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan projek tambak laut Selatan Pulau Pinang (PSI) akan disemak semula dan dikecilkan skopnya.
Dengan tanah yang ditambak dalam projek itu akan dijual bagi mendanai pembinaan LRT di Pulau Pinang, Anwar berkata kerajaan persekutuan akan menambah dana menerusi skim khas kepada negeri itu untuk melaksanakan projek itu dengan segera.
"Saya meneliti kontroversi projek tambak laut ini dengan rakan-rakan dalam jemaah menteri dan ambil kesempatan ini bagi meredakan masalah dengan mengumumkan agar projek ini dapat dikaji semula, diperkecilkan skopnya.
“Kerajaan pusat akan menambah dana dalam skim yang besar untuk membolehkan kerajaan negeri melaksanakan segera projek LRT,” katanya ketika berucap dalam acara Rumah Terbuka Malaysia Madani di UiTM kampus Permatang Pauh, hari ini.
Dia membangkitkan kesesakan trafik di Pulau Pinang kian memburuk dan kerajaan negeri sebelum ini memohon dana daripada persekutuan untuk projek LRT.
Berikutan pengumuman itu, Anwar yang juga menteri kewangan berkata kerajaan persekutuan akan mengadakan pertemuan dengan kerajaan Pulau Pinang tidak lama lagi bagi membincangkan kaedah pendanaan.
Mengambil maklum berkenaan kerisauan nelayan tempatan dan NGO alam sekitar terhadap PSI, dia memberi jaminan kerajaan persekutuan dan negeri akan mengambil langkah bagi membantu golongan yang terjejas akibat projek itu.
Sementara itu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke dalam sidang media selepas acara mengesahkan projek LRT tersebut akan didanai kerajaan persekutuan.
Kerajaan Persekutuan juga akan menentukan kaedah pendanaannya, katanya dalam sidang media yang turut disertai Ketua Menteri Chow Kon Yeow.
Projek itu sebelum ini dilaporkan akan menelan kos RM10 bilion.
Semalam, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) Mohideen Abdul Kader membuat rayuan kepada Anwar untuk membatalkan projek tambak laut, dengan membangkitkan akibat buruk terhadap alam sekitar dan nelayan.
Dia juga berkata projek itu bertentangan dengan rangka kerja dasar kerajaan Madani yang menggalakkan pembangunan mapan.
Projek PSI meliputi kawasan 1,821 hektar, atau kira-kira seluar 2,550 padang bola, antara Permatang Damar Laut dan Gertak Sanggul di selatan Pulau Pinang.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai