Skip to main
Logo Malaysiakini

Kabinet belum bincang cadangan naikkan caruman KWSP

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Kerajaan masih belum membincangkan cadangan untuk menaikkan kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) daripada majikan kepada 20 peratus, kata Anwar Ibrahim.

Kata perdana menteri, walaupun cadangan tersebut sudah dikemukakan kepada kerajaan belum ada sebarang keputusan dibuat mengenainya.

"Tak bincang pun lagi, tak bincang… belum bincang," katanya ringkas kepada media selepas merasmikan menara Kumpulan KWSP di Kwasa Damansara, Sungai Buloh, hari ini.

Pada 1 Mei lalu, Anwar bekata cadangan supaya kadar caruman KWSP untuk bahagian majikan dinaikkan dari 13 peratus kepada 20 peratus akan dibincang oleh kerajaan.

Jelasnya, cadangan berkenaan sudah dikemukakan, tetapi belum dibawa ke mesyuarat jemaah menteri.

"Itu (cadangan) ada dikemukakan, tetapi kita belum bawa kepada jemaah menteri, akan dibincangkan dahulu (kerana) keputusan dasar, ada impak (kepada) kerajaan dan majikan," katanya awal bulan ini.

Terdahulu, Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) menyenaraikan cadangan terbabit dalam 12 syor mereka untuk dipertimbangkan kerajaan.

Turut dikemukakan ialah kajian semula had umur bersara wajib.

Sementara itu, Anwar hari ini menyifatkan Menara KWSP Kwasa Damansara sebagai mercu tanda khidmat berintegriti dan bertanggungjawab.

“Kalau kita saksikan kawasan pembangunan baru ini dengan kehijauan dan ada pembangunan mampan sekali gus beri gambaran kesedaran kemampanan tidak hanya kemajuan pertumbuhan pantas sebaliknya ambil kira kelestarian dan kehijauan yang memberi manfaat kepada rakyat.

“Ini juga termasuk penyelesaian masalah negara, pengurusan dan tatakelola yang baik boleh membuat kemajuan lebih pesat tetapi mesti diurus dengan pengurusan berintegriti dan hapuskan segala bentuk ketirisan dan rasuah,” katanya.