Skip to main
Logo Malaysiakini

Pemangku Raja Pahang titah beri peruntukan adil pada Adun pembangkang

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah bertitah agar kerajaan negeri Pahang memberikan peruntukan adil kepada Adun pembangkang di negeri itu.

Baginda bertitah landskap politik negara perlu berubah berbanding masa lalu.

"(Tempoh) 66 tahun (sejak kemerdekaan) ini sepatutnya sudah matang dan yang menjadi kerajaan, raikan pembangkang kerana mereka juga dipilih oleh rakyat.

"Peruntukan yang adil perlu diberikan kepada mereka (pembangkang) juga," titahnya.

Baginda bertitah demikian ketika Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua DUN Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di Kuantan, hari ini.

Semua Adun Pahang termasuk menteri besar, Wan Rosdy Wan Ismail hadir pada istiadat yang bermula jam sembilan pagi itu.

Tengku Hassanal turut mengingatkan pembangkang agar tidak menyerang semua usaha yang dilakukan kerajaan negeri.

"Apa yang baik berilah pujian, apa yang kita kurang, berikan pandangan. Rakyat mahu politik yang stabil dan matang," titahnya.

Baginda turut berharap Pahang bergerak pantas ke hadapan dan mesti menjadi contoh kepada negeri dan negara lain.

"Proses birokrasi dan menyusahkan (perlu) dibuang jauh-jauh. Kepada majikan swasta juga sama, kerajaan telah sedia itu (dan) ini, maka pulanglah balik kepada kerajaan dalam bentuk cukai, zakat dan program khidmat masyarakat.

"Apabila sudah untung lebih, jangan lupa beri semula kepada pekerja. Ada untung lebih, bayarlah gaji pekerja lebih sikit atau beri bonus lebih baik," titah baginda lagi.