Saksi: Jho Low 'autoriti tinggi' dalam pelaburan 1MDB di luar pesisir
KES 1MDB | Bekas pegawai BSI Bank Singapura - yang telah diarahkan tutup - berkata Low Taek Jo adalah "autoriti tinggi" yang memberi lampu hijau kepada pelaburan kontroversi luar pesisir bernilai AS$2.3 bilion yang dibuat 1MDB.
Dalam perbicaraan kes rasuah dana 1MDB bernilai RM2.28 bilion terhadap Najib Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, Kevin Michael Swampillai berkata dia melihat Low memberi kelulusan ke atas keputusan ke atas pelaburan dalam Brazen Sky Limited, yang dilaksanakan beberapa individu seperti bekas ketua pegawai kewangan 1MDB Azmi Tahir dan timbalannya ketika itu, Terence Geh.
Swampillai, 58, lahir di Malaysia tetapi berstatus penduduk tetap Singapura.
Saksi ke-44 pendakwaan itu berkata pemerhatian itu bertentangan dengan andaiannya bahawa Najib ada pengetahuan tentang proses "pelapisan" (layering) yang dibuat dengan menggunakan syarikat fidusiari menerusi BSI.
Terdahulu, mahkamah diberitahu tentang pelanggan BSI yang menggunakan syarikat fidusiari luar pesisir untuk melakukan pengaliran wang ke destinasi tertentu yang mereka mahukan, pada masa sama mengaburkan identiti pelabur.
Ketika pemeriksaan balas dengan peguam Muhammad Shafee Abdullah hari ini, Swampillai menjelaskan Azmi dan Geh adalah dua pengarah Brazan Sky yang berpangkalan di British Virgin Islands (BVI) - salah satu entiti di mana dana 1MDB dialirkan dalam dakwaan proses pengubahan wang haram.
Sebelum ini, juruaudit 1MDB, KPMG dilaporkan enggan menandatangani akaun syarikat 1MDB berkaitan pelaburan tersebut pada 2013. 1MDB kemudian melantik Deloitte sebagai juruaudit bagi menggantikan KPMG.
Ketika prosiding pada 20 April tahun lalu, Ahmad Nasri Abdul Wahab dari KPMG berkata syarikat itu mahu bertemu dengan Najib pada akhir 2013 kerana tidak puas hati dengan maklumat dan dokumen yang diberikan pengurusan syarikat itu untuk audit pelaburan dalam Brazen Sky.
Shafee: Apa yang ada dalam Brazen Sky tidak dapat digerakkan kecuali dua pengarah (Azmi dan Geh) kata 'ya', tetapi bila anda kata di sini (dalam pernyataan bertulis) yang Jho Low lebih tinggi dari mereka?
Swampillai: Ya.
Shafee: Keputusan adalah selari dengan keputusan Jho Low?
Swampillai: Ya.
Shafee: dalam pernyataan bertulis, anda kata Najib autoriti lebih tinggi yang anda jelaskan (hanya andaian), sekarang nampaknya jawapan anda selari dengan Perenggan 48 (pernyataan bertulis) berkenaan traksaksi merujuk 'autoriti lebih tinggi' Jho Low, di mana Jho Low mengatasi mereka (Azmi dan Geh)?
Swampillai: Ya.
Shafee: Ia bukan keadaan di mana perdana menteri dan menteri kewangan ketika itu (Najib) mengatasi mereka?
Swampillai: Ya.
Katanya lagi, ketika berkhidmat di BSI pada 2010 hingga 2016, dia memerhati tindakan Low berkaitan pengendalian akaun berkaitan 1MDB di bank tersebut.
Najib dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai