Skip to main
Logo Malaysiakini

Penduduk 'sembur' Rohingya, dakwa rampas hak rakyat

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Penduduk tempatan di Bagan Dalam, Pulau Pinang meluahkan rasa tidak puas hati terhadap sekumpulan pelarian Rohingya yang menetap di sebuah rumah pangsa kos rendah di situ.

Dalam pertemuan kira-kira dua jam semalam, mereka antaranya berleter panjang dengan nada keras kepada pelarian itu.

Perjumpaan itu adalah percubaan untuk menghalang pelarian daripada dakwaan menyalahgunakan peluang dan kemudahan untuk rakyat tempatan serta melanggar undang-undang.

Ia diadakan di tempat meletak kenderaan di flat itu atas permintaan NGO tempatan Persatuan Kebajikan Surplus (Surplus) Pulau Pinang dan Pusat Latihan Raudatul Huda, yang mengarahkan pelarian yang tinggal di flat itu supaya hadir.

Bercakap dalam nada yang tinggi, Pengerusi Surplus Mohd Sophian Mohd Zain mengasak kumpulan Rohingya itu, yang menurut mereka berdaftar dengan Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Pelarian (UNHCR) tentang keadaan semasa mereka.

Dia menyoal jika warga Rohingya itu membeli dan memandu kereta serta menunggang motosikal secara haram, begitu juga dengan menjalankan perniagaan atau bekerja - yang dakwanya meskipun memiliki kad UNHCR tetapi mereka tidak dibenarkan melakukannya.

Bagi setiap soalan, segelintir daripada 40 hadirin Rohingya itu akan mengangkat tangan apabila Mohd Sophian mengasak mereka dengan bertububi-tubi.

"You (kamu) orang beli motor guna nama siapa?” soalnya sambil diapit oleh kira-kira 40 penduduk tempatan.

“Nama orang tempatan kan? You tau tak bolehkan?” katanya.

Dakwanya, bagi setiap flat kos rendah yang disewakan kepada warga Rohinya itu, satu isi rumah Malaysia akan dinafikan hak perumahan murah berkenaan.

Bagaimanapun, dia tidak menyatakan bagaimana kumpulan Rohingya mampu menyewakan unit yang dimaksudkan untuk rakyat Malaysia yang kurang bernasib baik itu.

Mohd Sophian juga membidas penduduk tempatan kerana menjadi "kuli batak" kepada warga Rohingya dengan membenarkan nama mereka digunakan untuk membeli kenderaan dan menjalankan perniagaan.

Perjumpaan itu diadakan selang beberapa minggu selepas UNHCR melaporkan kira-kira 50 pelarian Rohingya telah dihalau keluar dari rumah mereka di sebuah kampung di Penaga, Pulau Pinang, selepas tinggal di sana selama kira-kira 10 tahun.

Menurut UNHCR, jiran pelarian itu mendakwa penduduk tempatan tidak mempunyai masalah dengan mereka, yang juga telah belajar bercakap dalam bahasa Melayu dan loghat utara.

Ia menambah konflik seperti itu boleh diselesaikan dengan lebih baik melalui dialog antara pelarian tersebut dan sedang berbincang dengan wakil rakyat tempatan untuk memastikan insiden seumpama itu tidak berulang.

Bagaimanapun, Mohd Sophian berkata UNHCR harus bertanggungjawab terhadap ketegangan yang memuncak antara penduduk tempatan dan pelarian.

Di sebalik kelantangan teguran kerasnya, dia memberitahu masyarakat Rohingya di rumah pangsa Sri Bagan bahawa dirinya bersimpati dengan nasib mereka yang terpaksa menyara hidup tanpa hak untuk bekerja di negara ini.

“Kamu tak boleh kerja kan, tapi kena pergi kerja kan, tak ada kerja tak boleh makan kan.

“(Kamu) kena meniaga kan, tak meniaga tak ada duit kan? Tak ada duit tak boleh makan, tak boleh makan, tak boleh sewa rumah kan, betul kan?

“Ini kita mahu tolong,” katanya sambil menyeru kerajaan, wakil tempatan dan UNHCR untuk campur tangan dalam menangani isu-isu ini.

Mohd Sophian berkata UNHCR sepatutnya menyediakan sokongan kewangan bulanan kepada pelarian untuk menyara diri mereka, dan juga mampu menghantar anak mereka ke sekolah.

Katanya, adalah tidak masuk akal untuk membenarkan pelarian kekal di negara ini tetapi tidak membenarkan mereka bekerja.

Walaupun membenarkan UNHCR beroperasi di negara ini, Malaysia bukanlah penandatangan konvensyen PBB yang mengiktiraf hak pelarian.

Sebaliknya, pelarian dianggap sebagai pendatang tanpa izin di Malaysia, tanpa hak asasi manusia atau kebenaran untuk bekerja.

Bagi Mohd Sophian, penyelesaian terbaik adalah untuk UNHCR mempercepatkan penempatan semula Rohingya ke negara ketiga.

Pengerusi Raudatul Huda Azmi Jaafar berkongsi sentimen yang sama.

“Semakan kami mendapati bahawa beberapa pelarian terpaksa menunggu kira-kira 30 tahun untuk menghadiri program negara ketiga.

“Kerajaan dan UNHCR perlu bergerak segera dan pantas untuk mengelakkan masalah sosial yang akan timbul ” katanya.

Dia juga mendakwa bahawa keadaan sekarang tidak seharusnya dibiarkan berterusan, kerana apabila warga Rohingya itu yang mencari pekerjaan, mereka didakwa mengambil peluang daripada penduduk tempatan seperti pelajar lepasan sekolah dan pesara.

Chokkur Mohd Hussin

Bagi ahli jawatankuasa Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar Malaysia (Merhrom) Pulau Pinang, Chokkur Mohd Hussin, penempatan semula di negara ketiga bukanlah pilihan mereka.

Chokkur, 52, tiba di Malaysia kira-kira 30 tahun lalu, ketika berusia 19 tahun. Dia kini mempunyai seorang isteri dan empat orang anak yang dilahirkan di sini.

“Kami mahu pulang semula ke Myanmar jika PBB boleh memastikan tanah air saya kembali aman dan harmoni. Mengapa saya mesti memohon untuk pergi ke Amerika Syarikat di bawah program penempatan semula negara ketiga UNHCR?

"Kami mohon Allah supaya untuk menyelesaikan masalah ini agar kami mampu pulang semula i ke tanah air kami," tambahnya.