Skip to main
Logo Malaysiakini

Muhammad Nur Manuty pengerusi baru Ikim

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Bekas Senator Dr Muhammad Nur Manuty dilantik sebagai pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) berkuat kuasa hari ini.

Ketua Pengarah Ikim Prof Madya Dr Mohamed Azam Mohamed Adil menerusi kenyataan hari ini memaklumkan pelantikan itu dibuat Perdana Menteri Anwar Ibrahim, berikutan pengerusi Ikim sebelum ini Prof Emeritus Dr Mohd Kamal Hassan meninggal dunia pada 23 Feb lepas.

“Sebagai seorang tokoh ilmuan yang berpengalaman luas dalam bidang pendidikan, pemikiran, falsafah, perbandingan agama dan pengurusan, pelantikannya sebagai pengerusi Ikim akan mampu melonjak kecemerlangan Ikim sebagai sebuah institusi pemikir dan penyelidikan yang disegani di Malaysia dan dunia antarabangsa.

Mewakili ahli lembaga pengarah dan seluruh warga kerja Ikim, saya menzahirkan ucapan tahniah atas pelantikan beliau sebagai pengerusi baru Ikim,” katanya.

Muhammad Nur, 74, memulakan pendidikan di Kolej Islam Malaya di Klang, Selangor sebelum melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana Muda Pengajian Islam dalam bidang Usuluddin dan Falsafah, Universiti Kebangsaaan Malaysia (UKM) dari tahun 1970 hingga 1974.

Dia kemudiannya menyambung pelajaran di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah di University of Temple, Amerika Syarikat dari 1978 hingga 1987 dalam bidang pemikiran Islam dan perbandingan agama.

Muhammad Nur juga pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam di UKM, selain bertugas sebagai pensyarah kanan dan profesor madya di Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), dari 1983 hingga 1999.

Dia juga pernah berkhidmat sebagai dekan di Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Dekan di Pusat Pengajian Lanjutan dan Khidmat Masyarakat, UIAM selama lima tahun dari 1990.

Muhammad Nur juga adalah mantan presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), bekas timbalan presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah), mantan Ahli Lembaga Pengarah Ikim dan Ahli Majlis Syura Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

-Bernama