Skip to main
Logo Malaysiakini

'Beri peluang kedua, bukan terus menghukum bekas banduan'

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Stigma negatif yang dilempar kepada bekas banduan menyebabkan golongan terbabit sering disisih masyarakat sedangkan mereka telah pun menerima hukuman setimpal atas kesilapan lampau masing-masing.

Pengarah Penjara Kajang Mohd Roslen Ramli berkata sikap masyarakat yang berterusan menghukum menyebabkan ada dalam kalangan mereka sukar berubah, malah sesetengahnya kembali terjerumus ke tabiat lama atau bergaul dengan rakan-rakan sepenjenayah dulu.

“Ya, mereka pernah melakukan kesalahan sehinggakan dipenjara, tetapi itu bukan tiket kepada kita untuk terus menghukum mereka. Sikap seperti inilah yang boleh membuatkan seseorang bekas banduan itu masuk semula ke penjara.

“Misalnya jika seseorang itu pernah dijatuhi hukuman penjara akibat mencuri dan telah pun dibebaskan, masyarakat masih berterusan meminggirkannya menyebabkan dia berisiko terjerumus semula dalam kegiatan mencuri.

“Di sini (Penjara Kajang) memang terdapat mereka yang keluar masuk penjara kerana mengulangi kegiatan lama," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Penjara Kajang baru-baru ini.

Sehubungan itu kata Mohd Roslen Jabatan Penjara tidak pernah putus asa untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat supaya memberi peluang kedua kepada bekas penghuni tirai besi terbabit dan menerima mereka kembali terutama bagi mendapatkan pekerjaan dan mencari rezeki yang halal.

Galakkan terus belajar

Jelasnya sepanjang berada di penjara, setiap banduan menjalani proses rawatan dan pemulihan termasuk melibatkan aspek kerohanian.

Selain itu, katanya, mereka turut diberikan latihan dan kemahiran tentang sesuatu bidang kerjaya.

"Oleh itu, masyarakat harus memain peranan dengan memberi ruang dan peluang untuk mereka menyumbangkan sesuatu dalam komuniti serta meneruskan kehidupan normal,” katanya.

Mohd Roslen berkata dalam memberikan keyakinan masyarakat, pihak penjara turut memberikan golongan banduan kemudahan seperti komputer dan akses internet untuk menyambung pelajaran dalam pelbagai peringkat dari Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sehingga tahap ijazah doktor falsafah (PhD).

Katanya dalam zaman serba mencabar ini, Jabatan Penjara menyedari kemahiran seperti jahitan serta perkhimatan dobi yang diperoleh di dalam tahanan semata-mata tidak mencukupi dan menyukarkan mereka untuk dapatkan pekerjaan lebih baik setelah dibebaskan.

“Oleh itu, para banduan berkenaan digalakkan menyambung pelajaran dalam sesuatu bidang yang bukan sahaja akan meningkatkan peluang mereka untuk mendapat pekerjaan, malah meyakinkan diri sendiri serta keluarga dan masyarakat luar,” katanya.

- Bernama