Skip to main
Logo Malaysiakini

'Lynas tak boleh buat rayuan semula untuk gugur 4 syarat perbaharui lesen'

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata Lynas Malaysia Sdn Bhd tidak boleh membuat rayuan sekali lagi untuk menggugurkan empat syarat lesen yang dikenakan terhadap mereka.

Chang berkata dia tidak boleh mengubah keputusan itu setelah permohonan mereka ditolak.

“Ia tidak dibolehkan undang-undang,” katanya seperti dipertik Free Malaysia Today.

Seksyen 32 (5) Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 menyatakan keputusan menteri terhadap rayuan adalah muktamad dan rayuan semula dan semakan di mana-mana mahkamah tidak boleh dilakukan.

Lynas dalam kenyaaan semalam berkata pihaknya akan memohon keputusan itu disemak semula.

Pada Februari lalu, Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) bersetuju memperbaharui lesen operasi Lynas berkuat kuasa 3 Mac tahun ini untuk tempoh tiga tahun.

Bagaimanapun ia tertakluk kepada syarat yang ketat.

Salah satu syarat ini adalah untuk menempatkan semula kemudahan C&L di Gebeng, Kuantan - yang menghasilkan sisa Penjernihan Lesap Air (WLP) radioaktif - keluar dari Malaysia sebelum Julai 2023.

Chang Lih Kang

Satu lagi syarat yang mesti dipatuhi oleh Lynas termasuk memulakan proses membangunkan kemudahan pelupusan kekal, mengemukakan pelan pembangunan kerja dan melaporkan statusnya, memastikan loji retak dan larut lesap mereka di luar Malaysia beroperasi menjelang Julai 2023 dan mengekalkan deposit kewangan pematuhan.

Permohonan Lynas berkenaan syarat itu didengar pada 28 April lalu. Chang menolak rayuan tersebut.

Bagaimanapun, dia memberi lanjutan tempoh enam bulan untuk syarikat itu menempatkan semula kemudahan C&L. Syarikat itu perlu berbuat demikian selewat-lewatnya 31 Disember ini dan tiada lanjutan lagi akan diberikan.

Dalam pada itu, Bernama melaporkan Chang sebagai berkata kemudahan C&L Lynas di Australia sudah hampir siap.

“Loji mereka di Kalgoorlie, Australia Barat hampir siap serta lanjutan tempoh ini mengambil kira sekiranya mereka tidak dapat siap (loji) sebelum Julai,” katanya.