Skip to main
Logo Malaysiakini

Isu Myanmar, penipuan kerja hangat dibincang dalam mesyuarat Asean

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Isu Myanmar, jenayah rentas sempadan dan 'job scam' jadi topik perbincangan hangat Menteri-menteri Luar Negeri Asean sempena Sidang Kemuncak Asean ke-42 2023, yang berlangsung di bandar Manggarai Barat, provinsi Nusa Tenggara Timur, Indonesia.

Menteri Luar Negeri Zambry Abd Kadir berkata dia telah menyertai tiga mesyuarat pada Selasa - Mesyuarat Menteri-menteri Luar Negeri (AMM), Mesyuarat Majlis Komuniti Politik-Keselamatan Asean Ke-26 (APSC) dan Mesyuarat Majlis Penyelarasan Asean Ke-33 (ACC ke 33) pada Selasa.

Dalam mesyuarat AMM itu, menteri-menteri membincangkan Konsensus Lima Perkara (5PC) yang kekal sebagai mekanisme utama dalam menangani situasi di Myanmar.

Ia perlu dilaksanakan dengan sepenuhnya oleh pihak-pihak berkenaan serta menyokong usaha-usaha pengerusi Asean dalam berdialog dengan semua pemegang taruh di Myanmar.

Negara Asean akan terus menerajui usaha-usaha kemanusiaan di Myanmar menerusi Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan Bagi Pengurusan Bencana Asean (AHA Centre) dan bersetuju perlunya keganasan dihentikan segera bagi memudah cara usaha-usaha kemanusiaan, kata Zambry dalam sidang media.

Dia berkata peranan utusan khas (special envoy) Asean ke Myanmar, yang kini giliran Indonesia, juga perlu diteruskan untuk mengelakkan timbulnya masalah apabila berlaku pertukaran pengerusi Asean.

Katanya, dalam mesyuarat itu menteri-menteri juga mengambil maklum mengenai kecenderungan negara luar (external partner) seperti Arab Saudi, Panama dan Sepanyol untuk mewujudkan Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC).

Zambry Abd Kadir

"Negara-negara luar melihat Asean ini berkembang dan dapat bergerak dalam keadaan yang baik," katanya, sambil menambah Malaysia mengulangi sokongan permohonan Maldives untuk menyertai TAC.

Zambry turut menyampaikan laporan berhubung kedudukan Malaysia sebagai negara koordinator yang dipertanggungjawabkan untuk menyusun pertemuan Sidang Kemuncak Asean-Kanada pada September dan Asean-GCC di Riyad, Arab Saudi pada Oktober.

Di mesyuarat APSC, Malaysia menekankan berkenaan jenayah rentas sempadan termasuk pemerdagangan manusia yang menjadi antara isu utama di rantau Asia Tenggara khususnya yang berkaitan dengan job scam (tawaran pekerjaan palsu).

"Malaysia telah memaklumkan mengenai usaha-usaha negara di peringkat domestik dan serantau dalam membendung dan membanteras isu ini termasuk penubuhan Mesyuarat Antara Agensi berhubung Penyelarasan Isu Sindiket Tawaran Pekerjaan Palsu yang diketuai oleh Kementerian Luar Negeri dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri.

"Mekanisme ini juga telah mengadakan libat urus dengan pelbagai pihak termasuk Interpol dan AseanApol bagi membantu meningkatkan kesedaran masyarakat awam," katanya.

Zambry berkata Malaysia juga akan meneruskan kerjasama erat dengan Kemboja dan Thailand bagi tujuan perkongsian maklumat, penyelarasan misi bantuan, mengenal pasti sindiket-sindiket yang berkaitan dan dalam melaksanakan siasatan secara komprehensif bagi mendakwa pihak-pihak yang terlibat.

Sementara itu di Mesyuarat ACC ke-33, Malaysia menyambut baik kemajuan dalam pelaksanaan “Syor Memperkasa Kapasiti Asean dan Keberkesananya sebagai Institusi”, serta menambah baik mekanisme-mekanisme yang diterajui Asean.

Mengenai Timor-Leste, Malaysia turut mengulangi sokongan terhadap permohonan negara itu untuk menyertai Asean dan mengalu-alukan sidang kemuncak menerima pakai Pelan Hala Tuju Penyertaan Timor-Leste ke Asean.

-Bernama