Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Kerakusan berterusan gulingkan kerajaan

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Pada 6 Mac 2023, Abdul Hadi Awang sendiri mengakui memang Perikatan Nasional (PN) sedang berusaha menjatuhkan Kerajaan Perpaduan. Tegasnya juga, tiada siapa boleh menghalang usaha itu.

Sebelumnya, pada 28 Februari dalam sebuah forum di ibu negara, apabila Hadi ditanya bilakah Kerajaan Perpaduan akan tumbang (?) bagi membolehkan para pengikutnya ikut masuk atau berada sekali di dalam kerajaan, dia menjawab, “Insya-Allah, dekat!”

Di pagi harinya, beliau bercakap di parlimen tentang isu sama dan memberi peringatan agar PAS tidak dipersalahkan kalau ‘rumah’ kerajaan yang ada tumbang atau dirampas kerana “atapnya bocor, pintunya terbuka dan dindingnya pecah”. Daripada beberapa kenyataan Hadi, terasa membuak-buak sekali nafsunya untuk berkuasa—sesuatu yang jarang dapat dilihat muncul dari seorang yang bergelar “ulama” di mana pun di dunia.

Daripada kisah Nabi Muhammad SAW, para sahabat dan pemimpin Islam di sepanjang sejarah lebih 1400 tahun, Muslim tidak diajar untuk memasuki atau mengambil barang yang bukan hak kita, di dalam rumah orang. Kalaupun benar “atapnya bocor, pintunya terbuka dan dindingnya pecah”, itu bukan alasan mengizinkan perampokan atau pencurian. Rompak, curi atau khianat, tetap dilarang keras oleh agama.

Di situlah bahayanya apabila sebuah parti yang memakai nama agama, tapi apabila politikus parti Islam mengisyaratkan contoh yang salah, lalu Islam dipandang serong atau ikut tercemar. Kecurangan pemimpin yang memakai jubah agama sama sekali bukan bererti kekurangan Islam.

Keadaan sama ketika dunia berhadapan dengan aksi puak pelampau yang membuat serangan atau membunuh atas nama Islam! Mereka sesungguhnya tidak mewakili agama atau majoriti Muslim yang kekal berpegang kepada ajaran-ajaran Islam yang murni. 

Politik dan kekuasaan tidak boleh dijadikan alasan Islam boleh semahu-mahunya diherot-berotkan mengikut nafsu dan kepentingan politik. Sikap yang sedemikianlah yang mewujudkan apa yang disebut sebagai “Islamophobia” yang sungguh mengelirukan dan berbahaya.

Dalam pembukaan sidang parlimen dua minggu sebelum itu, sementelahan Yang di-Pertuan Agong juga sudah bertitah, baginda mahukan kestabilan bagi negara kita yang tercinta ini. Rakyat sudah maklum, bagindalah yang dengan bijaksana merumuskan gagasan Kerajaan Perpaduan yang dibentuk selepas PRU, November tahun lalu. 

Malahan semua parti-parti politik termasuk PN turut diundang untuk bersama dalam Kerajaan Perpaduan, namun ditolak mentah-mentah oleh pemimpin PN sendiri. Mereka masih percaya dengan sistem elektoral winner-takes-all.

Selang beberapa hari, iaitu pada 8 Mac, Hadi seakan bingkas membidas titah Yang di-Pertuan Agong, kerana alasan Hadi, raja berada bawah Perlembagaan. Dalam kata lain, titah atau nasihat raja-raja Melayu boleh sahaja dikuis ketepi atau tidak diendahkan. Alasan presiden parti Islam itu ialah “Malaysia negara demokrasi”, dan seperti katanya yang dikutip oleh media, “Perlembagaan kita masih menjunjung demokrasi, dan ia (menjatuhkan kerajaan) tak bercanggah."

Alih-alih Hadi lebih percaya demokrasi

Bukankah aneh kerana alih-alih Hadi lebih mempercayai demokrasi, berbanding Islam?

Namun banyak sudah negara umat Islam yang terjerumus dalam sistem tertutup, kuku besi atau totalitarian, yang mana pada awalnya mereka turut menggunakan alasan demokrasi untuk memperoleh kuasa. Seraya mendapat kuasa atas ruang demokrasi, maka demokrasi itu sendiri diberantas sebagai sistem yang kononnya bersifat thagut, sekular dan ciptaan Barat.

Dan sekali lagi, yakni pada 3 Mei minggu lalu, Sultan Johor pula menyuarakan kebimbangan baginda dengan desas-desus berkenaan kestabilan kerajaan yang terus cuba digugat sehingga hari ini. 

Antara lain titah baginda berbunyi: “Sehingga kini, 222 ahli parlimen ini masih tidak dapat bersepakat sehingga ada gerakan yang cuba menggagalkan kestabilan yang sedang dibina.”

Sehari dua ini, kenyataan pemimpin PN saling bercanggah. Beberapa orang seperti Hamzah Zainuddin dan Ahmad Faizal Azumu cuba menafikan wujudnya komplot sedemikian. Tapi kalau tak ada angin, masakan pokok bergoyang.

Saya yakin tentu ramai rakyat Malaysia yang lebih mempercayai titah Yang di-Pertuan Agong dan baginda sultan Johor berbanding omongan Hamzah, Faizal mahupun Hadi.

Raja-raja Melayu bukanlah begitu naif dengan hidup selingkar pagar istana sahaja sehingga tidak punya maklumat, atau tidak tahu membezakan antara berita sahih dengan yang palsu. Tentu ada asas-asas yang kuat sehingga membuatkan Sultan Johor dengan jelas menyebutkan wujudnya “gerakan yang cuba menggagalkan kestabilan”. Hanya apabila peluang untuk menumbangkan kerajaan semakin tipis, barulah Hamzah atau Faizal cepat-cepat menafikannya. Mereka takut rakyat tahu keadaan sebenar.

Seorang lagi pemimpin PN Selangor, Azmin Ali pula kelmarin berkata, menggulingkan kerajaan dibenarkan bawah perlembagaan. Maksud kata-kata sebegitu sama dengan kenyataan Hadi sebelumnya, yang dalam senyap-senyap bertujuan menyinggung titah dan nasihat Sultan-sultan Melayu.

Sejak Langkah Sheraton dan rampasan kuasa pertama kali yang dilakukan pada awal tahun 2020 dengan menyaksikan Muhyiddin Yassin diangkat sebagai perdana menteri, rakyat sangat bimbang ia bakal menjadi amalan baru yang dibiasakan untuk menukar kerajaan dan PM tanpa melalui proses pilihan raya. Keadaan sedemikianlah yang wujud di negara seperti Pakistan sejak kemerdekaan pada 1947, sehingga sukar mencapai kestabilan politik.

Daripada 22 orang yang pernah menjadi PM di negara berkenaan sepanjang 75 tahun kemerdekaan, semuanya disailang di tengah jalan. Tidak seorang pun yang dapat menjadi PM sehingga habis penggal. 

‘Bersih dan stabil’ yang dusta

Akibat ketidakstabilan itu, maka Pakistan berat sekali untuk maju walaupun mereka mempunyai kepakaran teknologi yang hebat, tokoh agama, sasterawan bahkan bijak pandai yang agung. Ada juga perdana menteri Pakistan yang dibunuh ketika dalam jawatan seperti apa terjadi ke atas Benazir Bhutto pada 2007. Pembunuhnya sampai sekarang tidak ditemui.

Oleh itu, slogan “bersih dan stabil” yang digunakan PN dalam PRU lalu jelas dusta semata. Deretan kes-kes korupsi yang mula dihadapkan ke mahkamah, membuktikan PN sama sekali tidak bersih. 

Tindak-tanduk pemimpin Bersatu dan PAS untuk menumbangkan kerajaan yang tidak henti-henti itu juga menunjukkan mereka tidak pernah mengutamakan kestabilan. Keperitan hidup rakyat dan kehancuran ekonomi yang wujud sekarang juga disebabkan oleh tangan-tangan para pemimpin PN kala mereka menjadi kerajaan tidak lama dulu.

Pada malam hari pengundi dalam PRU lalu, Muhyiddin sudah menyebutkan cukup bilangan untuk membentuk kerajaan. Konon 115 berada di dalam genggaman beliau. Akan tetapi angka berkenaan tidak pernah dapat dibuktikan di dalam Dewan Rakyat.

Angka juga boleh berubah-ubah. Terkini sokongan kepada PN diuar-uarkan kan sudah mencecah 116, atau ada juga yang lebih tinggi menjadi 126. 

Kenyataannya, PN tidaklah sekuat mana dalam Dewan Rakyat dengan hanya ada 73 anggota parlimen. Itu jumlah yang dimenangi dalam PRU lalu. Tapi nampaknya PN masih perasan kuat kerana memegang pentadbiran di tiga negeri—Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Bagi menghentikan komplot rampasan kuasa kali kedua selepas Langkah Sheraton, serta membenam semua usaha sabotaj ekonomi rakyat dan negara, kuasa tiga negeri PN-PAS itu perlu diragut. PH-BN perlu menumpukan usaha untuk kembali berkuasa di Kedah, Terengganu dan Kelantan agar Malaysia dapat benar-benar distabilkan, dan kerajaan yang sah ini tidak akan boleh diganggu-gugat lagi.

Selagi PN-PAS mencengkam dan berkuasa di ketiga negeri berkenaan, rakyat nampaknya terpaksa mengadap tempoh lima tahun dalam keadaan diugut dan diugut dari minggu ke seminggu, bulan ke sebulan sampailah raya bertemu raya pun tidak berkesudahan.

Selain itu, selepas tiga dekad Malaysia berada dalam perpecahan, mengambil alih Kedah, Terengganu dan Kelantan bakal menjadi titik mula kepada perpaduan nasional sebenar rakyat di kesemua negeri persekutuan demi mengembalikan maruah bangsa kita di mata dunia. Ia bertepatan dengan firman Tuhan di dalam surah Ar-Ra’d yang kerap dirumuskan bahawa Allah tidak mengubah nasib kita (sesuatu kaum), kecuali kita sendiri mengubahnya—hatta-yuroiyiruma-bi-ãmfusihim.


HASMI HASHIM atau turut dikenali sebagai Budi Hekayat ialah seorang penulis lirik dan penyokong kuat PKR.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.