Skip to main
Logo Malaysiakini

Exco: Kawasan Pantai Tok Bali kotor milik persendirian

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Pantai Tok Bali di Pasir Puteh, Kelantan yang tular kerana dipenuhi sampah adalah kawasan persendirian dan bukan berada di bawah seliaan Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP).

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan Dr Izani Husin berkata kawasan yang berada di bawah seliaan MDPP sentiasa dijaga oleh pihak yang diberi kontrak pembersihan.

"Walaupun tanah di pantai berkenaan adalah milik persendirian, namun kami sudah mengarahkan PBT (pihak berkuasa tempatan) untuk membersihkan kawasan itu.

"Kawasan yang kotor di pantai kebanyakannya adalah tanah persendirian yang tidak dijaga dengan baik.

“Apabila ada sampah, orang akan ambil gambar dan tular bagi menampakkan Kelantan kotor. Jadi orang akan salahkan kami (kerajaan negeri) dan ini tidak adil kepada kami," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Sambutan Hari Kesedaran Autisme Sedunia Peringkat Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan penyanyi dan bekas penyampai radio, Hani Farhana Mohd Hatim, 39, atau dikenali sebagai Hunny Madu terkejut dengan tahap kebersihan Pantai Tok Bali yang sangat kotor dan dipenuhi sampah sarap.

Sementara itu, Dr Izani berkata pembuangan sampah harian di seluruh Kelantan adalah sekitar 1,200 metrik tan sehari dan ia meningkat empat kali ganda ketika Ramadan serta Aidilfitri.

"Justeru, bagi memberi kesedaran, kerajaan negeri sentiasa menganjurkan program dengan memberi pendidikan kepada masyarakat secara berterusan dan istiqamah," katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Izani berkata kebakaran tapak pelupusan sampah di Beris Lalang, Bachok tidak mengganggu proses pelupusan sampah kerana ia hanya melibatkan sebahagian kawasan di tapak terbabit.

"Kebakaran itu dapat dikekang dengan pembinaan longkang bagi menghalang kebakaran daripada merebak," katanya.

-Bernama