Skip to main
Logo Malaysiakini

'PH-BN di Terengganu sudah mula gerak kerja bersama lebih awal'

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Gerak kerja secara tidak rasmi antara Pakatan Harapan (PH) dan BN di Terengganu bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) sudah diadakan lebih awal lagi, kata pemimpin PH Terengganu.

Ketua Penerangan PH negeri Mohd Sufian Mat Ali berkata tiada sebarang masalah yang timbul antara kedua-dua pihak ketika kerjasama aktiviti “turun padang.”

“Tak ada masalah. Kita memang bincang untuk gerak bersama (untuk) kenal pasti bilik gerakan, dah bergerak di peringkat bawahan, cawangan semua dan peringkat DUN pun dah bergerak,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Menurutnya, ia dimulakan sekitar awal Ramadan (Mac) baru-baru ini.

Pada 9 Mei, Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh berkata satu jentera baru yang dinamakan ‘Geng Perpaduan’ yang melibatkan semua sayap pemuda parti gabungan kerajaan akan dilancarkan sempena Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, Ahad ini.

Menurutnya, ia bertujuan untuk memperkukuh kerjasama dan mengatur gerak kerja dalam menghadapi PRN di enam negeri - Terengganu, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Sementara itu, Sufian menambah, meskipun perbincangan berhubung pembahagian kerusi di negeri itu belum lagi dimuktamadkan dan kemungkinan berdepan dalam keadaan yang sukar, dia berkata gerak kerja antara kedua-dua parti di Terengganu itu berjalan dengan baik.

“Dah ada perbincangan dan pertemuan di semua peringkat. Dan memang cukup baik dari segi perbincangan dan diskusi.

“Persediaan di peringkat bawahan tu dah berlaku dan sedang bergerak sekarang,” katanya.

Kerjasama secara tak rasmi dan semula jadi

Perkara yang sama diakui oleh bekas pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Terengganu Azan Ismail, yang menyatakan bahawa negeri itu antara yang terawal memulakan kerjasama selepas terbentuknya kerajaan perpaduan.

Katanya, kerjasama tersebut berlaku secara tidak rasmi dan semula jadi.

“Jadi mula-mula perbincangan secara tidak formal, tapi akhirnya bila kerajaan perpaduan itu terbentuk di peringkat nasional, dengan pengumuman barisan kabinet dan sebagainya, kita meneruskan saja…kebetulan perkara itu berlaku seperti yang kita rancang.

“Setakat ini, pada pandangan saya mengikut perbincangan semua itu, kita (Terengganu) agak awal juga perbincangan kerjasama untuk menghadapi PRN.

“Soal kata ada rungutan, pandangan saya rasa itu datang daripada suara-suara Perikatan Nasional ataupun PAS,” katanya.

Menurut bekas ahli parlimen Indera Mahkota itu, kedua-dua parti itu telah memulakan gerak kerja yang lebih awal terutamanya di kawasan DUN tertentu yang berpotensi dimenangi.

“Maksudnya, inisiatif yang diambil oleh PH bersama dengan Umno di peringkat masing-masing memang dah dimulakan lebih awal,” katanya.

“Sebab itulah Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu Datuk Seri Ahmad Said kata (PH-BN di Terengganu) tidak menghadapi apa-apa masalah.

“Itu lanjutan pada dia sendiri pun mengetahui kerjasama antara kerajaan parti-parti perpaduan kita ni dah mulakan lebih awal,” katanya.

Pada PRU14, BN menang 10 daripada 32 kerusi di DUN Terengganu dan PAS menawan 22 kerusi DUN. Manakala PKR gagal meraih sebarang kerusi di situ.

Kemenangan itu juga menyaksikan PAS berjaya merampas negeri di bawah pimpinan BN itu.