Skip to main
Logo Malaysiakini

Pakar UM gesa k'jaan mansuh penahanan tanpa bicara

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Pakar undang-undang dari Universiti Malaya Dr Nur Jaanah Abdullah menggesa kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim segera memansuhkan penahanan tanpa bicara, khususnya Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau Sosma; Akta Pencegahan Jenayah (Poca) 1959; dan Akta Pencegahan Keganasan 2015 (Pota).

“Jika kita mahu dipanggil ‘Malaysia Madani’, ini adalah perkara pertama yang perlu dilakukan, lebih-lebih lagi perdana menteri kita sekarang (Anwar Ibrahim) pernah menjadi tahanan.

"Saya harapkan masyarakat boleh memberi tekanan untuk menamatkannya (tahanan tanpa bicara)," katanya pada majlis forum sempena tayangan perdana filem dokumentari ‘Speak Out: 3 ISA Detainees’ arahan Victor Chin yang ditayangkan di Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya.

Majlis itu anjuran NGO Suaram dengan kerjasama Kesatuan Mahasiwa Universiti Malaya (Umsu).

Sementara itu, Nur Jaanah berkata konvensyen hak asasi manusia antarabangsa juga mengandungi peraturan ketat mengenai layanan terhadap tahanan dan banduan tanpa bicara.

“Semua tahanan dan banduan perlu di layan dengan berperikemanusiaan oleh pihak berkuasa dan hakikatnya bahawa mereka juga adalah manusia,” katanya lagi.

Nur Jaanah turut menyarankan kerajaan untuk menyemak semula, menggantikan atau mengimbangi undang-undang tahanan tanpa bicara tersebut dengan peraturan lain.

Dalam perkembangan berkaitan, bekas setiausaha Gerakan Mansuh ISA, Nalini Elumalai berkongsi pengalamannya berjuang memansuhkan ISA yang akhirnya berjaya dihapuskan pada tahun 2011.

“(Sosma, Pota, Poca) itu adalah undang-undang yang berbahaya di negara ini, bagi saya ia adalah sama dengan ISA dan saya tidak nampak sebarang perubahan sehingga hari ini.

“Keadilan tidak ditegakkan kepada sesiapa yang ditahan kerana mereka tidak menerima permohonan maaf daripada pihak yang bertanggungjawab di sebalik kejadian ini dan berharap agar kerajaan mementingkan hak manusia,” katanya pada majlis sama.

Untuk rekod, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata undang-undang keselamatan seperti Sosma masih relevan dan penting bagi memelihara ketenteraman awam dan keselamatan negara meskipun didakwa melanggar hak asasi manusia.

Dia berkata polis masih memerlukan undang-undang berkenaan agar tindakan segera boleh diambil untuk mengelakkan sebarang ancaman awam terhadap kesejahteraan rakyat.