Skip to main
Logo Malaysiakini

Dr M yakin kini ahli DAP pun selesa dengan Proklamasi Melayu 

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata tumpuan utamanya dalam Proklamasi Melayu buat masa ini adalah untuk mendapatkan sokongan daripada kaum Melayu untuk proklamasi itu. 

Dia yang baru sahaja meninggalkan gabungan Gerakan Tanah Air (GTA) yang baru ditubuhkan tahun lepas berkata tidak timbul isu bahawa dia berhasrat untuk mengetepikan mana-mana parti politik Melayu sedia ada. 

“Sama ada saya akan bergiat di atas landasan politik selepas ini bukan sesuatu yang perlu saya fikir ketika ini. 

 “Yang penting ialah mendapatkan sokongan orang Melayu untuk proklamasi ini.

 “Jadi tidak timbul saya mengetepi mana-mana parti politik Melayu yang wujud,” katanya dalam satu hantaran di akaun media sosialnya hari ini. 

Dia berpendapat sekiranya dia bergerak di atas landasan parti politik, akan terdapat kaum Melayu dari parti politik yang lain tidak begitu selesa untuk menyokong proklamasi tersebut.

 “Proklamasi ini bertujuan menyatu orang Melayu melangkaui garis politik.

 “Ini bermakna orang Melayu yang juga ahli Umno, PKR dan Amanah serta juga segelintir yang ada di dalam DAP, jika berkongsi kesedaran yang timbul oleh proklamasi ini akan turut menandatanganinya.

“Apabila orang Melayu dapat bersatu dan bersetuju dengan kesedaran yang timbul oleh proklamasi, maka ia menjadi tanggungjawab setiap parti yang berlandas perjuangan Melayu,” katanya. 

Bekas ahli parlimen Langkawi itu turut menjemput orang ramai untuk menyokong dan menandatangani proklamasi tersebut melalui pautan yang mengandungi 12 perkara yang melibatkan pembelaan kaum Melayu. 

Katanya, orang Melayu akan kehilangan segala-galanya jika tiada kesedaran dan semua parti politik dan kumpulan yang memperjuang kepentingan orang Melayu tidak bersatu.

Pada Februari, Mahathir menarik diri daripada Pejuang - parti yang ditubuhkannya pada 2020 selepas dipecat daripada Bersatu, yang merupakan parti lain yang diasaskannya pada 2016. 

Bukan tinggal secara mutlak - Khairuddin 

Sementara itu, sekretariat GTA Khairuddin Abu Hassan dalam kenyataannya selepas selesai bermesyuarat bersama Mahathir petang tadi turut menjelaskan perkara itu. 

Senada dengan Mahathir, Khairuddin turut menyentuh pendaftaran GTA yang masih belum mendapat kelulusan daripada Pendaftar Pertubuhan (RoS). 

Khairuddin Abu Hassan

“Gerakan Proklamasi Orang Melayu bergerak secara ‘non partisan’ serta tidak bermotifkan politik.

“Motif utama Proklamasi Orang Melayu adalah untuk memperkasakan kembali kedudukan bangsa melayu dalam segenap sektor demi menjaminkan kesejahteraan masa depan orang-orang melayu.

“Tetapi dalam masa yang sama keseluruhan orang-orang melayu hanya mahu menumpukan daya-usaha untuk memulihkan semula hala-tuju orang-orang melayu di samping menghormati hak-hak kaum lain di negara ini,” katanya dalam kenyataan tersebut hari ini. 

Tambahnya, Mahathir tidak bermaksud untuk meninggalkan GTA secara mutlak dan akan bercakap semula mengenai gabungan itu setelah pendaftaran diluluskan RoS.