Skip to main
Logo Malaysiakini

Lebih 300 pekerja Nepal di Nilai tiada kerja, tak diberi gaji

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Lebih 300 pekerja asing warga Nepal terperangkap di Nilai, Negeri Sembilan selama lebih tiga bulan selepas janji yang mereka akan mendapat pekerjaan gagal ditunaikan.

Sumber dari Kedutaan Nepal menjelaskan pekerja asing berkenaan yang tiba di Malaysia sejak Januari lalu, diambil oleh syarikat pembersihan Star Domain Resources Sdn Bhd untuk bekerja di Genting Highland.

Bagaimanapun, sumber dalaman berkata pekerja terbabit masih belum mendapat sebarang pekerjaan dan dibiarkan tanpa gaji.

“Seramai 301 pekerja Nepal telah ditempatkan di kuarters buruh berpusat, yang diluluskan oleh jabatan buruh, di Nilai.

“Agensi pengambilan pekerja di Nepal melaporkan hanya 45 daripada mereka diberi pekerjaan.

“Dari segi gaji, kami difahamkan syarikat hanya membayar mereka, tanpa mengira status pekerjaan, gaji pokok RM1,500 pada April. Mereka (Syarikat itu) masih berhutang gaji dua bulan dengan mereka,” katanya kepada Malaysiakini.

Menurutnya, kedutaan Nepal telah mengatur pertemuan dengan syarikat pembersihan itu tetapi mereka tidak hadir.

Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Negeri Sembilan, Roslan Bahari berkata syarikat itu hanya membayar pekerja sehingga RM600 sebagai "bayaran token".

Bercakap kepada Malaysiakini, Roslan berkata syarikat itu telah menangguhkan pembayaran gaji penuh buat kali ketiga sejak isu itu timbul.

“Jabatan Tenaga Kerja khususnya di Negeri Sembilan telah berjumpa majikan lebih tujuh kali untuk mendesak mereka membayar gaji tertunggak. Kami bersama-sama wakil kedutaan telah bersusah payah meminta majikan membuat bayaran.

“Mereka sepatutnya membayar baki dua bulan gaji pada Khamis (11 Mei) pada pukul 12.30 tengah hari tetapi mereka gagal berbuat demikian.

"Apabila kami bertemu mereka pada hari Jumaat (12 Mei), majikan berjanji untuk membayar semua hutang mereka selewat-lewatnya pada hari Isnin," katanya.

Katanya, Jabatan Tenaga Kerja dan kedutaan Nepal telah bekerja keras untuk menyelesaikan isu itu.

Jabatan berkenaan telah mempertimbangkan untuk mengambil tindakan pendakwaan terhadap Star Domain Resources, namun Roslan bimbang ia hanya akan menyebabkan pekerja tidak dibayar gaji.

"Kami telah membuka kertas siasatan mengenai isu ini tetapi saya fikir lebih baik fokus kepada pekerja dan gaji mereka yang tidak dibayar," katanya.

Dia berkata ibu pejabat Jabatan Tenaga Kerja di Kuala Lumpur sedang berusaha memindahkan baki 256 pekerja yang menganggur kepada majikan lain dalam masa terdekat.

“Sekiranya lebih teruk, kami akan mendapatkan bantuan daripada kedutaan untuk membuat laporan kepada Jabatan Tenaga Kerja dan kami akan membantu memfailkan tuntutan untuk pekerja," katanya.