Polis tumpas sindiket curi kenderaan, enam lelaki ditahan
Polis menumpaskan satu sindiket mencuri kenderaan yang menyasarkan kenderaan pelbagai guna dan pacuan empat roda selepas menahan enam anggota sindiket berkenaan dalam operasi dijalankan di sekitar Subang Jaya dekat Kuala Lumpur dan Bentong, Pahang.
Kesemua suspek lelaki berusia antara 35 dan 50 tahun itu ditahan dalam operasi dijalankan pada 9 pagi Selasa hingga 2 pagi Rabu oleh Bahagian D4 (Risikan/Operasi/Jenayah) Jabatan Siasatan Jenayah.
Pengarah JSJ Bukit Aman Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata siasatan awal mendapati sindiket ini menyasarkan kenderaan jenis pacuan empat roda dan kenderaan pelbagai guna jenis Toyota dan Honda.
“Sindiket ini akan meninggalkan kenderaan berkenaan di kawasan terpencil sebelum diambil oleh sindiket lain untuk dijual ke luar negara atau dileraikan dan dijual sebagai alat ganti terpakai di pasaran tempatan,” katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau berkata dalam operasi berkenaan polis turut merampas sebuah kereta jenis Toyota Hilux dan Camry, selain pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk mencuri kenderaan.
Ayob Khan berkata polis masih mengesan dalang utama dan saki-baki anggota sindiket berkenaan yang disyaki bergerak aktif di sekitar Lembah Klang, Pahang, Johor dan Pulau Pinang.
“Kesemua suspek kini direman sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai