Lim bimbang OPR naik halang pertumbuhan suku kedua tahun ini
Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng memuji pertumbuhan ekonomi yang kukuh pada suku pertama di bawah pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim, namun mengigatkan tentang keperluan menyelaraskan dasar dengan Bank Negara Malaysia (BNM).
Dalam kenyataan hari ini, ahli Parlimen Bagan itu sekali lagi mengkritik kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) baru-baru ini oleh BNM dan menyuarakan kebimbangan bahawa ia akan menghalang pertumbuhan pada suku kedua.
“Kerajaan di bawah Anwar harus dipuji kerana memacu ekonomi Malaysia ke arah pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) suku pertama 2023 lebih kukuh daripada jangkaan 5.6 peratus.
“Pertumbuhan KDNK yang baik didorong oleh peningkatan perbelanjaan isi rumah, guna tenaga dan perbelanjaan penggunaan swasta.
"Suku pertama yang kukuh juga boleh dikaitkan dengan penyelarasan dasar ekonomi antara kerajaan dan BNM dalam memberi tumpuan kepada pertumbuhan KDNK yang mampan," katanya.
Dia berkata penjajaran dan penyelarasan antara dasar fiskal kerajaan persekutuan yang lebih longgar, dengan Belanjawan 2023 terbesar dalam sejarah sebanyak RM388 bilion, dan dasar kewangan BNM, serta penangguhan dua kali untuk menaikkan OPR pada Januari dan Mac 2023, sememangnya memudahkan pertumbuhan ekonomi.
“Bagaimanapun, kenaikan OPR secara mengejut oleh BNM pada 3 Mei mungkin menyukarkan Malaysia untuk mengulangi pertumbuhan KDNK suku pertama sebanyak 5.6 peratus pada suku kedua 2023,” jelasnya.
Tambah Lim, sebab yang diberikan Gabenor BNM Nor Shamsiah Mohd Yunus yang mahu berwaspada terhadap inflasi yang meningkat semula sebagai justifikasi kenaikan OPR yang mengejutkan menimbulkan sedikit kekeliruan.
“Mengapa inflasi kini menjadi masalah yang memerlukan kenaikan OPR tetapi tidak menjadi masalah pada Januari dan Mac 2023 apabila BNM menghentikan kenaikan OPR?
“Mengapa BNM hentikan dua kali dalam meningkatkan OPR apabila inflasi keseluruhan dan inflasi teras lebih tinggi?” soalnya yang juga pengerusi DAP.
Lim berkata inflasi teras sebenarnya adalah pada kadar 3.9 peratus pada suku pertama 2023 seperti yang diumumkan pada April lalu, berbanding 4.2 peratus pada suku terakhir 2022.
“Jika inflasi teras menjadi kebimbangan utama, mengapa terdapat dua kali penangguhan kadar faedah tanpa kenaikan OPR oleh BNM pada Januari dan Mac 2023?
“Sebagai bank negara yang amat mengambil berat tentang inflasi keseluruhan dan teras, OPR sepatutnya dinaikkan serta-merta pada Januari dan Mac 2023 apabila inflasi bagi suku terakhir 2022 lebih tinggi dan tidak menunggu sehingga sekarang.
“Walaupun BNM tidak menaikkan OPR pada Januari dan Mac tahun ini, kedua-dua inflasi keseluruhan dan teras berjaya menurun masing-masing kepada 3.4 peratus dan 3.8 peratus pada Mac 2023. Kedua-dua inflasi itu telah dikekang walaupun tiada kenaikan OPR oleh BNM,” katanya lagi.
Justeru, Lim mempersoalkan rasional kenaikan mengejut OPR dengan ketiadaan bukti inflasi yang kembali meningkat tetapi sebaliknya menyebabkan kesulitan kewangan kepada peminjam, khususnya individu dan PKS.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai